Penyertaan mahasiswa dalam program seumpama “FIRSTep: From Table to Reality” anjuran Kelab “Broadcaster of Shah Alam” (BOS) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dianggap medan terbaik bagi merapatkan jurang ketidaksepadanan di antara kehendak industri media penyiaran dan pelatih industri 2u1i.
Menurut Koordinator Kursus Penyiaran, Aeyneda Zairyn Abdul Jalil, latihan industri bagi program akademik 2u1i yang menggabungkan pembelajaran akademik dan pelaksanaan amali sebenar di tempat kerja dapat menghasilkan graduan yang tersedia industri namun tempoh latihan yang lebih lama mendatangkan cabaran tersendiri yang menuntut persiapan awal penuntut dari aspek mental dan fizikal.
“Pendedahan mengenai realiti sebenar amat penting agar mereka tidak terkejut dengan apa yang perlu mereka hadapi di tempat kerja dan ini semestinya dapat membantu dalam pembentukan ketahanan diri yang amat diperlukan penuntut bagi melengkapkan latihan mereka dengan baik,” tambahnya lagi.
Program yang berlangsung pada 22 Disember 2023 ini menampilkan Shazwin Mazlina Mazlan, Penerbit Rancangan Televisyen yang berpengalaman selama lebih 16 tahun dalam industri media penyiaran sebagai penceramah jemputan untuk berkongsi pengalaman kerjayanya dan jangkaan organisasi media terhadap pelatih industri.
Penasihat BOS, Mohd Fadly Khamis berkata kekeliruan mahasiswa terhadap penglibatan mereka dalam dunia penyiaran sedikit sebanyak telah berjaya dirungkai apabila mahasiswa tersebut diberikan peluang mengutarakan soalan secara terus kepada tenaga pakar berpengalaman menerusi sesi soal jawab.
“Perkongsian secara langsung oleh penceramah jemputan pada hari ini kepada penuntut berkenaan rutin dan praktis pengamal media dalam melaksanakan tugasan yang diberikan dijangka mampu menyumbang kepada kecemerlangan prestasi pelatih kerana mereka kini sudah mempunyai pengetahuan awal mencukupi mengenainya,” menurutnya lagi.
Aeyneda menzahirkan hasrat pihaknya untuk terus menganjurkan program ini pada masa-masa akan datang lantaran manfaat berguna yang dapat diberikan kepada mahasiswa termasuk memberi panduan kepada bakal pelatih industri untuk membuat keputusan berhubung pemilihan organisasi media sebagai tempat latihan.
Program ini dilihat mendapat respon positif dalam kalangan para peserta menerusi sokongan yang ditunjukkan termasuk kegigihan para peserta bertanyakan soalan-soalan secara peribadi kepada penceramah jemputan setelah usai perkongsian secara rasmi.
Seramai 39 mahasiswa FKPM dari Shah Alam dan Kampus Rembau telah menyertai program yang berlangsung serentak di Studio TV FKPM dan secara dalam talian menerusi akaun YouTube “Shah Alam Broadcasting Channel”(SBC) ini.