TAWAU, 10 JULAI 2023 – Menyedari pentingnya kesiapsiagaan warga kampus terhadap bahaya kebakaran, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan simulasi latihan pengungsian bangunan dan kebakaran (Fire Drill), semester Mac 2023.
Seawal jam 9.15 pagi, simulasi latihan telah dimulakan dengan loceng kecemasan dibunyikan melibatkan beberapa blok bangunan UiTMCSH Kampus Tawau. Serentak dengan itu, seramai 57 warga kampus yang berada di blok-blok bangunan Bilik Kuliah, Pejabat Pensyarah, Makmal Sains, Pentadbiran dan Perpustakaan diarahkan bergegas ke tempat berkumpul mengikuti laluan kecemasan yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, simulasi latihan telah diketuai oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling selaku Ketua Insiden bersama-sama 9 Ahli Jawatankuasa Safety Committee Under Department (SCUD), UiTMCSH Kampus Tawau selaku petugas. Ketua Insiden telah menerima laporan jumlah bilangan penghuni daripada Ketua Blok setiap bangunan dan seterusnya melaporkan hasil dapatan latihan kepada semua bagi penambahbaikan kelemahan dan kekurangan.
Eledellikedia Riting@ Sirin, pelajar siswi berkata, walaupun sekadar latihan, semua warga kampus tidak kira latar belakang seharusnya bertindak pantas untuk menyelamatkan diri jika berlaku kecemasan.
“Justeru latihan kebakaran perlu diadakan dari masa ke semasa bagi memastikan semua pelajar memiliki pengalaman untuk berhadapan kejadian sebenar,” ujar Eledellikedia.
Sementara itu, Muhammad Azmil Salim, pelajar siswa, berkata latihan yang diadakan dapat memberi pengalaman berguna khususnya pelajar terhadap tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kes kecemasan sebenar.
“Tindakan pantas perlu diambil dalam usaha menyelamatkan diri sendiri termasuk mangsa yang mengalami kecederaan. Silap tindakan mengundang kemalangan serius”, tambah Azmil.
Intihanya, kerjasama yang diberikan oleh semua warga kampus yang terlibat semasa latihan adalah sangat memuaskan dan berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan tentang bahaya kecemasan kebakaran, sekali gus memupuk rasa keprihatinan setiap warga UiTMCSH Kampus Tawau.