Adam Kelulut. Begitulah sinonimnya nama tersebut kepada sosok tubuh usahawan muda ini. Adam Kelulut atau nama sebenar beliau Adam Bin Zakaria berusia 23 tahun, berasal dari Dungun, Terengganu merupakan graduan Diploma Pengurusan Ladang, Fakulti Perladangan & Agroteknologi UiTM Cawangan Pahang. Minat terhadap keusahawanan mula timbul sejak beliau menyertai Kelab MyAgrosis. Pada mulanya Adam menyertai projek ternakan ayam kampung namun minat yang mendalam terhadap lebah kelulut membuatkan Adam mula belajar dan mendalami ilmu ternakan lebah kelulut. Ilmu berkaitan ternakan lebah kelulut banyak dipelajari melalui Penasihat Kelab MyAgrosis UiTM Cawangan Pahang iaitu Encik Mohammad Amir Shah Bin Yusop. Selain itu, Adam juga aktif menyertai kumpulan sokongan penternak lebah kelulut di serata Malaysia. Dengan berbekalkan ilmu tersebut, Adam memulakan projek ternakan beliau dengan hanya 21 log pada awalnya dan kini Adam telah mempunyai hampir 36 log kesemuanya.
Pelbagai Spesis Lebah Kelulut
Adam juga tidak tertumpu pada satu jenis spesis lebah kelulut sahaja. Antara spesis lebah kelulut yang menjadi pilihan Adam adalah Heterotrigona itama, Geniotrigina thoracica, Tetrigona apicalis dan Tetrigona binghami. Institut Penyelidikan dan Kajian Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjenamakan madu kelulut sebagai Superfood pertama Malaysia kerana khasiat dan kebaikannya kepada tubuh badan manusia. Kandungan antioksidan yang tinggi berbanding madu-madu tempatan yang lain telah dipercayai dapat meningkatkan imuniti tubuh. Lagi pula, manfaat vitamin C yang terdapat pada madu kelulut dipercayai berupaya membantu mengurangkan penyakit asma serta selesema menjadi antara penyebab madu ini sentiasa mendapat tempat dihati pelanggan.
Sudah ada pelanggan sendiri
Menurut Adam, pengeluaran madu kelulut bergantung kepada musim dan akan berkurangan pada musim tengkujuh. Secara purata, setiap log kelulut dapat menghasilkan kira-kira 500 – 1.5 kilogram madu setiap kali tuaian dan dipasarkan di sekitar Pahang. Adam juga mempunyai pelanggan tetap yang membuat tempahan setiap bulan kerana mereka yakin dengan kesegaran dan kualiti madu keluarannya. Selain itu, Adam turut memasarkan madu kelulutnya secara borong dan ejen. Madu kelulut ini dijual dengan kapasiti seberat 30 gram, 120 gram dan 200 gram dengan harga diantara RM30 hingga RM65. Walaupun terpaksa berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Adam bijak mengatur strategi baharu untuk terus meraih pendapatan dengan memasarkan madu kelulutnya menggunakan platfrom digital secara atas talian seperti Shopee. Adam juga mendapat pelawaan dari pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan produknya melalui platform AgroBazaar Online.
Buat ujian makmal jamin keaslian madu
“Asli. Tiada sebarang campuran”. Itu adalah jaminan yang diberikan Adam kepada pelanggannya. Bagi membina kepercayaan pelanggan terhadap kualiti madu kelulut keluarannya, Adam telah menghantar sampel madu kelulutnya ke Institut Genom Malaysia. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan, terbukti madu kelulut keluarannya adalah 100% asli tanpa sebarang campuran gula atau campuran lain. Itu adalah antara usaha Adam bagi memastikan pelanggannya dapat menikmati keaslian rasa madu kelulut yang berkualiti tinggi. Adam amat berharap lebih ramai graduan dalam bidang pertanian dan perladangan menceburi bidang perusahaan ini kerana beliau percaya ia mampu memberikan pulangan yang lumayan.