Summer Programme UiTM-NITUC Buka Peluang Kerjasama Dua Hala Fakulti Pendidikan dengan Universiti Jepun

Summer Programme UiTM-NITUC Online English Learning 2021 membuka laluan kerjasama di antara Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan National Institute of Technology, Ube College (NITUC), Jepun. Seramai 15 pelajar NITUC telah terlibat di dalam program yang berlangsung selama dua minggu secara atas talian ini. Bermula pada 30 Ogos 2021 – 17 September 2021 (dengan satu minggu tempoh bercuti di pertengahan program), program telah dibuka di dalam satu majlis yang cukup bermakna oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan.

Walaupun pada asasnya, summer programme ini menumpukan kepada perkongsian budaya, fokus utama program ini adalah pemindahan ilmu terutamanya penguasaan dan kompetensi Bahasa Inggeris para peserta. Menariknya, kelas dan aktiviti yang diaturkan dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Fakulti Pendidikan. Selaku bakal guru, pengalaman dan pendedahan yang diterima oleh mahasiswa Fakulti Pendidikan memberikan nilai tambah yang amat signifikan. Data maklumbalas menunjukkan para peserta berpuas hati dengan kualiti pengisian dan penganjuran program.

Pejabat Hal Ehwal Akademik Fakulti Pendidkan ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada NITUC di atas kepercayaan yang diberikan dalam penganjuran summer programme ini. Semoga kerjasama ini dapat dipanjangkan ke program-program lain di masa yang akan datang. Penghargaan juga kepada Department of International Affairs (DIA) UiTM di atas sokongan terhadap program-program antarabangsa Fakulti Pendidikan.