Pada 27 Jun 2022 telah diadakan satu seminar berbentuk program Collaborative Teaching bagi subjek Pengurusan Perosak (AGR244) secara atas talian, WEBEX. Seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Perladangan & Agroteknologi ini memberi fokus kepada pelajar semester 4 Diploma Pengurusan Ladang khususnya yang mengambil subjek AGR244 dan staf Unit Pengurusan Ladang amnya. Seramai 141 orang pelajar dan 10 orang staf Unit Pengurusan Ladang telah melibatkan diri dalam seminar ini yang bemula jam 8.30 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari. Seminar yang bertajuk Perosak Tanaman Utama dan Kaedah Kawalan telah disampaikan oleh penceramah jemputan khas, En. Mohd Hafizal bin Mansor dan En. Abdullah Haseim Sany bin Nordin yang merupakan Pegawai Eksekutif BASF (Malaysia) Sdn. Bhd.
Seminar ini juga mempunyai objektif untuk meningkatkan pengetahuan tentang kaedah pengawalan perosak yang betul dan berkesan. Selain itu ia juga mendedahkan kepada pelajar mengenai aparatus atau alatan terkini dipasaran yang boleh digunakan untuk kaedah kawalan perosak. Akhir sekali ia bertujuan untuk mewujudkan pelajar yang berpengetahuan dalam hal-hal berkaitan perosak dan kaedah kawalannya.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua penceramah dalam bidang pengurusan perosak, seminar ini telah berjaya menarik minat para pelajar untuk mendengar sesi perkongsian yang disampaikan secara santai. Peserta juga turut bertanyakan soalan kepada penceramah semasa sesi seminar berlansung. Program perkongsian ilmu ini dilihat amat memberi manfaat kepada semua pelajar dan staf yang terlibat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan untuk memastikan pencapaian para pelajar Diploma Pengurusan Ladang, UiTM Cawangan Pahang terus cemerlang.