Webinar Breast Cancer Awareness (BCA): The Pink Ribbon Stories dan Jualan Art Therapy

Puncak Alam – Webinar Breast Cancer Awareness (BCA): The Pink Ribbon Stories dan jualan Art Therapy telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2022, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga UiTM Kampus Puncak Alam tentang kanser payudara dan langkah pengesanan kanser payudara. Bukan itu sahaja, unsur keusahawanan juga dapat diterapkan melalui jualan Art Therapy bagi memupuk semangat membeli sambil menderma melalui jualan barangan seni.

Program ini telah berlangsung sepanjang minggu akademik ke-10 dan 11 bermula pada 13 Jun 2022 sehingga 26 Jun 2022. Kedua-dua webinar dan jualan tersebut dijalankan pada dua tarikh yang berlainan. Pada 16 Jun 2022, jualan Art Therapy telah dijalankan secara bersemuka, bertempat di Kafe Dahlia, Kolej Dahlia bermula jam 3.00 petang dan tamat pada jam 6.30 petang. Jualan ini terbuka kepada semua warga UiTM Puncak Alam dan kampus berdekatan dan juga disertai oleh 25 orang ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan jualan ini dari awal sehinggalah tamat.

Bermula jam 3.00 petang, jualan telah dimulakan dengan mempamerkan barangan seni seperti paint by numbers, sand art, drawstring pouch, chain mask loop dan keychain sebagai barangan jualan. Servis DIY chain mask loop dan keychain juga disediakan bagi memberi peluang kepada para pelanggan untuk memilih sendiri mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Ketika jualan sedang berlangsung, pengacara jualan iaitu saudari Siti Nur Zafirah binti Mohd Bahrin, menyampaikan info tentang kanser payudara dan terdapat paparan slide dan video yang telah disediakan oleh biro multimedia untuk tontonan semua. Kedua-dua aspek ilmiah dan keusahawanan telah tercapai melalui jualan ini. Diharapkan agar aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi bagi memberi kesedaran kepada umum tentang kanser payudara.

Pada 23 Jun 2022, bermula jam 2.00 hingga 4.30 petang, webinar Breast Cancer Awareness (BCA): The Pink Ribbon Stories telah dijalankan melalui platform Cisco Webex dan Facebook Live secara atas talian. Webinar ini telah disertai oleh 160 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan, 25 orang ahli jawatankuasa pelaksana, tetamu-tetamu kehormat, dua orang wakil dari Majlis Kanser Nasional (MAKNA) serta wakil daripada universiti luar seperti UniKL, UIAM, UNISZA, UKM dan juga PPUM. Webinar ini dapat dijayakan lagi dengan kehadiran Encik Ahmad Nu’man bin Abdul Rahman sebagai wakil penceramah dari MAKNA serta Puan Siti Rohani binti Mohammad Dom yang merupakan pejuang kanser payudara, selaku panel jemputan bagi webinar kali ini.

Webinar ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, sesi bacaan doa, ucapan oleh Pengarah Program iaitu saudari Alya Adibah binti Ramli dan tayangan video ringkas tentang kanser payudara. Webinar ini diteruskan lagi dengan agenda yang seterusnya iaitu sesi perkongsian bersama penceramah jemputan, Encik Ahmad Nu’man bin Abdul Rahman dan Puan Siti Rohani binti Mohammad Dom. Sesi perkongsian ini dimulakan oleh Encik Ahmad Nu’man, dimana beliau berkongsikan tentang fakta-fakta mengenai kanser payudara dan diikuti dengan sesi perkongsian bersama Puan Siti Rohani yang menceritakan serba sedikit tentang pengalaman beliau sepanjang menghidapi kanser payudara. Setelah selesai sesi perkongsian tersebut, webinar ini diteruskan dengan sesi soal jawab bersama ahli-ahli panel jemputan dari MAKNA.

Kuiz tentang Breast Cancer Awareness juga turut dijalankan bagi memeriahkan lagi suasana dan terbuka kepada semua peserta untuk turut serta melalui aplikasi Kahoot. Sesudah itu, ucapan penutupan program Breast Cancer Awareness (BCA): Think Pink 2022 telah disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin bagi menutup program ini secara keseluruhannya. Program Breast Cancer Awareness (BCA): Think Pink 2022 ini merupakan sebuah program gabungan antara tiga buah kumpulan yang terdiri daripada pelajar semester 4 dan 6. Webinar dan jualan ini merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan dibawah program ini. Webinar ini diakhiri dengan tayangan video montaj bagi program Breast Cancer Awareness (BCA): Think Pink 2022 yang merumuskan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang dua minggu tersebut. Maka, berakhirlah program Breast Cancer Awareness (BCA): Think Pink 2022 dengan jayanya.

Kesimpulannya, webinar dan jualan ini telah berjaya mencapai matlamat program iaitu pengetahuan dan kesedaran tentang kanser payudara dapat dikongsikan disamping memupuk budaya membeli sambil menderma melalui jualan barangan seni. Diharapkan agar melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dapat menambah ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.