Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang merealisasikan Webinar Rahsia Jimat Cukai 2024

Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pengurusan cukai yang bijak, Fakulti Perakaunan UiTM Pahang dengan bangganya telah berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Pahang untuk menganjurkan sebuah webinar informatif bertajuk “Rahsia Jimat Cukai”. Webinar ini bertujuan untuk memberikan pencerahan dan strategi kepada masyarakat umum tentang bagaimana mengoptimumkan pembayaran cukai mereka dengan efektif.

Webinar ini telah berlangsung pada 5 Mac 2024 melalui platform Webex dan juga secara langsung di platform Facebook Fakulti Perakaunan UiTM Pahang bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari. Ianya telah dihadiri oleh lebih dari 1,000 peserta dari UiTM seluruh Malaysia. Webinar ini dikendalikan oleh Puan Nurul Afzan Najid, pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang (Kampus Raub) selaku pemudahcara. Manakala sesi perkongsian telah diberikan oleh Timbalan Ketua Unit Khidmat Pelanggan LHDNM Pahang, Encik Muhammad Assif bin Abdullah dan juga Puan Nur Fatihah binti Abd Razab, Pegawai Eksekutif Unit Hasil LHDNM Negeri Pahang . Mereka berdua adalah pakar cukai dari LHDNM yang juga merupakan alumni UiTM, dan telah menyampaikan maklumat yang sangat berharga dan aplikatif. Antara intipati perkongsian adalah:

  • Pemahaman Asas Cukai: Sesi ini memfokuskan kepada asas-asas pengenalan cukai, termasuk jenis-jenis cukai di Malaysia, pendapatan yang dikenakan cukai dan tanggungjawab pembayar cukai.
  • Strategi Jimat Cukai: Penceramah membincangkan mengenai strategi dan tip jimat cukai yang dibenarkan dan beretika, termasuk manfaat pelepasan dan rebat cukai yang sering terlepas pandang dan tidak dituntut oleh pembayar cukai.
  • Kesalahan Umum dalam Pengisian Borang Cukai: Membahas kesalahan umum yang dilakukan oleh pembayar cukai dan bagaimana mengelakkannya daripada didenda atau diaudit.
  • Soal Jawab: Sesi interaktif di mana peserta dapat bertanya secara langsung kepada para ilmuan cukai mengenai situasi cukai mereka.

Webinar “Rahsia Jimat Cukai” telah berjaya membuka mata banyak individu tentang pentingnya pengetahuan dan kecaknaan dalam pengurusan cukai. Dengan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh, peserta diharapkan dapat mengurangkan beban cukai mereka secara bijak dan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Kami mengajak masyarakat untuk lebih proaktif dalam mempelajari dan memahami tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

Penganjuran webinar ini juga telah menyahut saranan negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG)  yang memfokuskan kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti. Ianya secara tak langsung mendidik staf UiTM khasnya, dan rakyat Malaysia menjadi pembayar cukai yang berilmu.

Sekalung tahniah diucapkan kepada jawatankuasa program yang diketuai oleh Puan Norlaila Mohd Din dan Puan Lily Mazlifa Mustafa selaku Koordinator Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang yang bertungkus lumus bagi memastikan program webinar ini berjalan lancar. Ucapan penghargaan juga diberikan kepada pegawai LHDNM Pahang yang terlibat dalam program ini. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan di masa yang akan datang.