Pada 19 Disember 2019, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor telah menganjurkan Sesi Taklimat dan Jamuan Perpisahan untuk para pelajar Diploma Pendidikan (DP) semester akhir.
Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk bertemu dan berbincang dengan pihak pengurusan kanan Fakulti Pendidikan serta wakil dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPM).
Fakulti Pendidikan berbesar hati mengalu-ngalukan kedatangan Encik Nurul Azmi Johari, Timbalan Pengarah 1, Bahagian Sumber Manusia (BSM) MARA; dan Encik Amik Zairi Abdul Fath, Ketua Penolong Pengarah, BSM MARA. Sesi taklimat dan jamuan ini diserikan lagi dengan kehadiran En. Azlan Hassan dan Puan Shafinas Roslan dari Ibu Pejabat Koleh Poly-Tech MARA. Selain pihak pengurusan, jemputan turut terdiri daripada pensyarah-pensyarah serta staf pentadbiran Fakulti Pendidikan.
Sesi taklimat dimulakan dengan ucapan oleh Dr. Nabilah Abdullah, Dekan Fakulti Pendidikan, diikuti dengan taklimat oleh En. Nurul Azmi Johari selaku wakil MARA. Taklimat diakhiri dengan sesi soaljawab.
Jamuan Majlis Perpisahan dibuka dengan ucapan oleh Puan Nadia Ainuddin Dahlan, Koordinator Program Diploma Pendidika, diikuti dengan ucapan oleh En. Azlan Hassan, wakil KPM. Saudara Muhammad Asyraf Rosli daripada Program Pendidikan Perdagangan mewakili para pelajar DP menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak pengurusan dan kesemua tenaga pengajar yang terlibat. Sambil menjamu selera, para jemputan, pensyarah dan pelajar dihiburkan dengan persembahan busking oleh 5 pelajar DP.
Program DP ini merupakan program khas yang ditawarkan kepada guru-guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Profesional Mara (KPM) seluruh Malaysia. Para pelajar telahpun memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kepakaran masing-masing dan perlu mendapatkan Diploma Pendidikan bagi membolehkan mereka disahkan di dalam jawatan dan memenuhi status tetap di dalam profesyen mereka sebagai pendidik.
Kohort pertama program ini terdiri daripada guru-guru MRSM dan pensyarah-pensyarah KPM yang mengikuti pengajian di Fakulti Pendidikan di dalam bidang Pendidikan Sains (Fizik, Kimia dan Biologi); Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Matematik dan Pendidikan Perdagangan.