12 April 2023 – Shah Alam; Peta adalah sebuah gambar atau lukisan yang menunjukkan sesuatu kawasan di permukaan bumi sebagaimana yang dilihat dari udara. Peta digunakan untuk menunjukkan taburan ciri geografi, iaitu ciri fizikal dan ciri budaya sesuatu tempat. Penggunaan peta sudah bermula sejak zaman purba lagi apabila manusia pertama mula dan meneroka dan merekodkan persekitaran mereka. Persoalan yang selalu ditanya oleh masyarakat ialah bilakah peta pertama keluar.
Atas sebab itu, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telak melaksanakan program Bicara Akademia Siri 12 yang bertajuk Evolusi Peta: Wilayah Kota-Kota Kerajaan Melayu. Dipersembahkan seorang panel jemputan iaitu Sr. Dr. Ismail Bin Ma’arof, Ketua Unit Pengembangan Ilmu Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM Shah Alam dan saudari Nur Aryani Fitri B.t. Shamsu Bahrin, pelajar Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (K) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam yang bertanggungjawab mengelolakan program ini. Program ini dilaksanakan pada 12 April 2023 (Rabu) jam 9.30 pagi hingga jam 11.00 pagi.
Menurut Dr. Ismail, peta ini berkait rapat dengan visual. Berbalik pada soalan dari masyarakat, memetakan bintang-bintang dilangit adalah peta yang paling awal wujud pada sekitar tahun 16 000SM di Perancis (Gambaran Syurga) dan tahun 12 000SM di Sepanyol (Mahkota Hemisfera). Apa yang kita dapat lihat, semakin lama semakin kemas dan teratur lukisan peta kerana ia hasil daripada teknologi yang semakin canggih mengikut peredaran zaman.
Fokus kepada peta di benua Melayu, jika dilihat pada peta lama yang dirangka oleh orang asing, wujudnya pelbagai kota dan istana. Namun begitu, kebanyakannya hanya tinggal tapak dan nama sahaja. Kepulauan Melayu dan Borneo dahulunya menjadi persinggahan pelayar-pelayar yang datang untuk menjalankan aktiviti perdagangan. Menurut Dr. Ismail lagi, lakaran peta kerajaan Melayu dulu, tempat dan kawasan ianya berada di kedudukan yang tepat, cuma namanya sahaja mengikut lidah atau bahasa orang yang meneroka tersebut. Peta amat penting bagi aktiviti pelayaran kerana ia memudahkan perjalanan supaya tidak tersalah arah. Selain itu, peta juga digunakan untuk merancang stratergi ketenteraan untuk bergerak meluaskan pengaruh kerajaannya. Kota-kota kerajaan Melayu amatlah unik sekali dan rugi jika kita tidak ambil tahu dan mengkajinya.
Akhir sekali, zaman sekarang pemetaan terus berkembang, didorong oleh pembangunan berterusan teknologi baru. Peta kekal sebagai alat penting untuk memahami dan mengurus pentadbiran sesebuah negara. Tambahan, masyarakat sekarang boleh mengakses dengan mudah untuk melihat bentuk negara Malaysia dan boleh bandingkan peta lama dengan peta sekarang.