Episod 4: Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT UiTMCJ

Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar Pra Diploma Siri 3 dengan tajuk ‘English is Fun’ telah berlangsung pada 19 Mei 2022 dan dikendalikan oleh Cik Siti Zarikh Sofiah binti Abu Bakar, Pensyarah Kanan merangkap Koordinator Pra Diploma sebagai penceramah jemputan.

Objektif program pada kali ini lebih memfokus dalam memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan Bahasa Inggeris di peringkat universiti ke arah pengukuhan akademik cemerlang, dan juga memberi pendedahan mengenai informasi berguna ke arah meningkatkan keyakinan, kemampuan diri terutama dalam penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

Pelbagai pengisian aktiviti yang menarik dijalankan sepanjang program berlangsung bertujuan untuk menarik minat peserta terhadap penggunaan bahasa ini. Kita semua sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris sangat penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Justeru, penguasaan Bahasa Inggeris yang dimulakan dari sekolah seterusnya peringkat universiti mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia.

Banyak tips dan input berguna yang dapat diambil dari apa yang disampaikan oleh penceramah dalam program kali ini lebih-lebih lagi dalam membantu kita semua sebagai pelajar untuk menguasai Bahasa Inggeris. Semoga program ini menjadi satu usaha perlu dilakukan untuk membantu pelajar UiTM khususnya pelajar pra diploma agar minat berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa disamping membangunkan potensi diri mereka seoptima mungkin sebagai cara untuk beradaptasi dengan arus global ini.