Dengan jayanya, Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) memulakan tahun baharu 2023 dengan menganjurkan sebuah webinar yang bertajuk English for Academic Writing pada tarikh 6 Januari 2023. APB UCPh telah bekerjasama dengan Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR), Indonesia untuk mengadakan sesi Pengajaran Kolaboratif (Collaborative Teaching) tersebut yang dimulakan pada jam 2.00 petang sehingga 6.00 petang, secara dalam talian.
Webinar ini merupakan sebuah projek Pengajaran Kolaboratif (Collaborative Teaching) bagi kod ELC550 English for Academic Writing yang merupakan salah satu subjek utama bagi pelajar peringkat ijazah sarjanamuda di UiTM. Kumpulan sasarannya terdiri daripada 78 orang pelajar sarjanamuda di UiTM Cawangan Pahang yang sememangnya sedang mengikuti kursus tersebut, dan turut disertai oleh hampir 50 orang peserta yang juga terdiri daripada para pelajar Pascasiswazah UiTM Cawangan Melaka.
Barisan pensyarah yang juga merangkap penceramah seramai enam orang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Sudar dan Dr. Tusino dari Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR) serta YM Prof. Madya Dr. Tengku Intan Suzila Tengku Sharif, Fatin Sabrina Abdul Sukor, Mohd Naqiuddin Zulkarnain dan Mohd Rozaidi Ismail dari UiTM Cawangan Pahang (UCPh). Para peserta telah dihidangkan dengan beberapa sesi selari ceramah iaitu Article Publishing in Reputable International Journals I dan II, Basics to Literature Review Writing dan Annotated Bibliography. Sepanjang sesi selari tersebut, para peserta telah didedahkan dengan cara yang lebih mudah dan sistematik dalam penulisan akademik dan kaedah terbaik dalam memilih jurnal untuk penerbitan. Usai sesi selari yang dinyatakan, para peserta berpeluang menghadiri sesi bengkel dan praktikal yang bertajuk Understanding Basic Journal Writing through Activities for Beginners, yang mana fungsinya adalah lebih kepada membuka ruang dan minda peserta terhadap kaedah penulisan akademik yang seringkali dianggap sukar lagi merumitkan, juga merungkaikan sedikit sebanyak persoalan mengenai nilai integriti dalam sesebuah penulisan akademik.
Akhir kata, sesi Pengajaran Kolaboratif (Collaborative Teaching) seperti ini diharapkan agar dapat terus dianjurkan pada masa akan datang. Ianya wajar dijadikan sebagai salah satu platform bagi Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) dan mana-mana institusi pendidikan mahupun organisasi yang telah dan ingin menjalinkan MoU dengan UiTM untuk berkongsi ilmu dengan para peserta, terutamanya mereka yang masih berstatus pelajar dalam mempersiap dan memahirkan diri dalam membentuk penulisan akademik dan menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.