Umum mengetahui bahawa Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berperanan untuk mempersiapkan para graduan dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman mengajar sebelum menggalas tugas sebagai seorang guru. Ilmu, kemahiran dan pengalaman dalam bidang pendidikan boleh diperolehi samada secara langsung atau tidak langsung di dalam ataupun di luar kelas dengan cara mendekati komuniti dan interaksi praktikal di sekolah-sekolah. Salah satu kaedah yang boleh diadaptasi dan dijalankan adalah menerusi program -program berbentuk penglibatan masyarakat (community engagement) yang pastinya akan meninggalkan satu pengalaman yang bermakna pada jiwa para bakal pendidik.
Bertempat di Kampung Kabogan, Semporna sebagai lokasi utama, pada 22 hingga 27 September 2023, program EDU Sabah Community Outreach (ECO 2023) telah dijalankan dengan jayanya, membawa beberapa misi pendidikan dasar dengan penglibatan pelajar, guru dan komuniti di beberapa sekolah sekitar daerah Semporna, Sabah. Program ECO 2023 bertindak sebagai salah satu manifestasi dan interaksi mahasiswa bersama komuniti yang dilihat lebih praktikal dan realistik. Program ECO 2023 yang telah membawa manifesto dari IPT ke komuniti, berlangsung selama 6 hari dengan melibatkan lawatan ke 6 jenis institusi pendidikan yang berbeza dari segi tujuan penubuhan dan objektif, taburan murid dan guru, termasuk perbezaan dari segi pencapaian, prestasi , isu serta cabaran tetapi matlamat utama yang dikongsi tetap sama iaitu untuk menyediakan akses pendidikan kepada semua golongan dan peringkat tanpa mengira had umur, latarbelakang dan bangsa.
Program ini telah melibatkan 8 orang peserta keseluruhannya, yang diketuai oleh penasihat program iaitu Dr Khadijah Said Hashim (Pensyarah Kanan, Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan) dan pelajar pelajar Fakulti Pendidikan yang baru sahaja menamatkan pengajian masing-masing pada semester Mac- Ogos 2023. Pelajar- pelajar yang terlibat terdiri daripada Muhammad Danial bin Mohamed Farook selaku Pengarah Program, (Pendidikan Matematik), Nur Aqilah Najihah binti Mohd Huzairi (Pendidikan Sains), Nur Aina Mardia Binti Abd Ghani (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Nur ‘Ilyani Insyirah bin Nazeli (Pendidikan Sains), Nur Illiyana binti Nozulan (Pendidikan Sains), Muhammad Haziq Aiman bin Mohd Yusly (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) Elly Arlynn Jeneral (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua). Program ini turut sama dijayakan dengan penglibatan kumpulan pembangun Modul ECO 2023 yang terdiri daripada Encik Sumardiasyah Sila selaku penasihat bersama, dan 13 orang pelajar Fakulti Pendidikan dari pelbagai bidang. Berikut merupakan senarai nama pelajar-pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan yang telah melengkapkan dan membangunkan modul ECO 2023.
Khairunnadia Binti Mohd Rodzi (Pendidikan Matematik)
Wan Syahmir Amiruddin Bin Wan Khairuddin (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)
Muhammad Aliff Najmuddin Bin Yazid (Pendidikan Seni & Seni Reka)
Mohamad Asrah Hanif Bin Amran (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)
Adam Aqeem bin Khairul Anuar (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)
Mohamad Adziman Bin Mohamed Adib (Pendidikan Sains)
Edwin Anak Ilie (Pendidikan Sains)
Amirah Irdina Binti Zamry Fareed (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)
Nur Zalifah binti Asaha’ri (Pedidikan Jasmani & Kesihatan)
Anis Shuhana Binti Mohamad Shukri (Pendidikan Sains)
Liyana Binti Ab Aziz (Pendidikan Sains)
Nur Adlin Binti Saad (Pendidikan Sains)
Wan Izwanis Izurin Binti Wan Ubaidillah (Pendidikan Matematik)
Fatin Ilyana Binti Mohd Zaini (Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua)
Disertakan 6 destinasi dan institusi yang telah dilawati sepanjang 6 hari siri jelajah program ECO 2023, dari IPT ke komuniti bagi siri pertama pada tahun 2023.
1. Akademi QurAnis Tawau : Pusat pendidikan untuk anak-anak (pelajar) autisme
2. SK Mabul, Pulau Mabul, Semporna : School in Tourism
3. SK Kabogan, Semporna
4. SMK Kabogan, Semporna
5. Sekolah Alternatif Semporna (Kampung Air Hujung),
6. Sekolah Alternatif Semporna (Kampung Bangau-Bangau).
Program ECO 2023 adalah satu inisiatif pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan dengan membawa tujuan utama untuk memberi peluang, pendedahan dan pengalaman autentik kepada para bakal pendidik muda tentang situasi sebenar pendidikan luar bandar sebagai persiapan penting dan asas utama pendidikan. Implikasinya, jiwa bakal pendidik akan lebih prihatin dan lebih empati bila berhadapan dengan realiti dan cabaran pelbagai dalam dunia pendidikan. Program ECO 2023 lebih menumpukan kepada penekanan dan signifikan mengadun pedagogi prihatin dalam kalangan guru dan bakal pendidik khususnya, kerana elemen ini merupakan intipati utama dalam menterjermah usaha melahirkan pelajar holistik dari segenap aspek bukan hanya penumpuan kepada pencapaian akademik dan kognitif semata-mata.
Selain itu, pendedahan kepada situasi sebenar pendidikan luar bandar turut memberi peluang kepada kumpulan bakal pendidik muda untuk berinterkasi dengan pelajar-pelajar dan guru- guru secara langsung dan terbuka (experiential learning) melalui pengendalian modul- modul yang telah disediakan merangkumi aspek Fun Learning English, Fun Learning STEM, Jelajah Kesihatan, Messy Playtime khusus untuk pelajar autisme (Special Education Needs) serta slot ‘Motivasi dan Misi Selangkah ke UiTM’. Para mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat turut sama berpeluang untuk berkongsi pelbagai peluang dan ruang pendidikan serta pengalaman peribadi masing-masing selepas SPM termasuk program Asasi dan Pra-Diploma UiTM.
Jelajah ECO 2023 ternyata mendapat sambutan yang baik dan sokongan yang padu daripada pelbagai pihak termasuk komuniti sekolah-sekolah yang dilawati, para pelajar, guru-guru, pihak pentadbir sekolah dan komuniti setempat. Antara maklumbalas positif yang diberikan pelajar ialah, mereka mengharapkan program ECO 2023 dan jelajah pendidikan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang. Respon dan maklumbalas positif terhadap sesi Fun Learning English dan Fun Learning STEM yang telah disampaikan dengan santai, seronok dan lebih interaktif ternyata meninggalkan memori manis kepada para mahasiswa dan mahasiswi UiTM yang bakal menjadi pendidik di masa akan datang.
Pihak Sekolah SK Kabogan turut berbesar hati menaja dan mengadakan majlis penutup dan malam kebudayaan ECO 2023 sebagai tanda terima kasih dan penghargaan daripada komuniti SK Kabogan dan penduduk setempat. Dalam ucapan penutupan, Tuan Guru Besar, Encik Kamul bin Kamarudin berasa bersyukur dan terharu di atas pemilihan SK Kabogan sebagai destinasi jelajah Program ECO 2023 dan beliau berasa kagum di atas komitmen yang tinggi yang ditujukkan oleh barisan pelajar Fakulti Pendidikan untuk menjayakan jelajah program ECO 2023 ini. Bagi pihak Fakulti Pendidikan dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan dan diperkasakan lagi dengan menyediakan sistem sokongan yang padu agar hubungan dan interaksi universiti dan komuniti terus dapat dikukuhkan untuk memastikan kelestarian pendidikan berkualiti dapat dirasai oleh semua.