Dinner MISA 2022: Malam Selingkar Kasih

Pada hari Khamis, 5 Januari 2023, Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) Sesi 2021/2022, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Puncak Alam telah menganjurkan satu program iaitu Dinner MISA 2022: Malam Selingkar Kasih sebagai penutup program bagi barisan Majlis Tertinggi MISA Sesi 2021/2022. Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara para pelajar, staf dan alumni MISA, serta bagi menyampaikan anugerah kepada para pelajar yang telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang MISA. Program yang bertempatkan di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam ini telah memuatkan seramai 338 orang jemputan yang terdiri daripada wakil dari syarikat Siemens dan juga kalangan pelajar, staf dan alumni MISA. Program Malam Selingkar Kasih ini terdiri daripada 10 orang ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) Sesi 2021/2022 dan seramai 46 orang pelajar MISA sebagai ahli jawatankuasa pelaksana. Program ini telah bermula tepat jam 8.00 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

Bagi memberkati majlis, saudara Muhd Asyraf Danial Bin Suhaimi telah dijemput bagi membacakan doa dan majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan juga lagu Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, sesi ucapan daripada Pengarah Program, Nur Humaira Binti Ghazali dan Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan (PPMI), Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin. Kemudian, majlis diteruskan dengan acara persembahan daripada para pelajar daripada semester 1 Diploma, semester 1 Ijazah Sarjana Muda dan semester 3 Ijazah Sarjana Muda Penerapan. Persembahan tersebut dijalankan secara selang-seli dengan acara penyampaian anugerah pelajar cemerlang MISA dan juga acara cabutan bertuah.

Sebagai acara kemuncak dan juga acara penutup pada malam itu, pengumuman Jejaka dan Gadis Idaman MISA telah diumumkan oleh pengerusi majlis dan hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan (PPMI), Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin dan diiringi oleh Penasihat 1 MISA Sesi 2022/2023, Puan Khairunnisa Binti Abdul Manan. Sebelum Program Malam Selingkar Kasih melabuhkan tirai, biro multimedia telah mengadakan sesi fotografi dengan para hadirin dan Program Malam Selingkar Kasih telah melabuhkan tirai dengan jayanya.