DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM

Majlis penutupan program KTP CAKNA SIHAT: SIHAT BADAN, SIHAT MENTAL EDISI : JELAJAH SELANGOR 2023 2.0 digabungkan bersama dengan program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM dan telah diadakan di Masjid Kampung Felda Bukit Cherakah pada 5 November 2023. Program ini merupakan program di bawah perancangan Exco Alumni, Perhubungan dan Pengantarabangsaan dan Exco Kepimpinan daripada Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) 2022/2023 dan merupakan program luar pertama yang diadakan di peringkat antarabangsa kerana turut digabungkan dengan program SULAM DiETS. Program ini turut disertai oleh enam pelajar Indonesia dari Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA). Objektif utama program ini adalah untuk menilai status pemakanan di kalangan orang dewasa dalam komuniti melalui penilaian antropometri. Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar Dietetik dan pelajar Indonesia dari Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA).

Program ini telah dipimpin oleh Dr Syahrul Bariah Binti Abdul Hamid selaku penasihat program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM dan Dr Suraiya Binti Abu Hassan Shaari selaku penasihat 1 Dietetik sesi 2022/2023. Melalui program ini, dapat dilihat interaksi yang sangat positif oleh para peserta yang terdiri daripada penduduk di Kampung Felda Bukit Cherakah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Zulkhairi Hj. Amom selaku Dekan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam.

Selepas tamat sesi majlis perasmian, maka bermulalah aktiviti slot satu iaitu slot pemeriksaan kesihatan. Antara pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ialah penimbangan berat, ukur ketinggian, pemeriksaan tekanan darah dan mengukur kadar peratusan lemak. Slot pemeriksaan kesihatan ini juga turut mempunyai tiga booth information. Booth pertama ialah ‘Kenali Label Makanan Anda’, booth kedua dinamakan ‘Gula dan Kesannya’ dan booth ketiga pula dinamakan ‘Pemakanan Sihat’. Ketiga-tiga booth ini dijalankan seiring dengan pemeriksaan kesihatan. Setiap booth mempunyai objektif yang tersendiri yang berkait dengan objektif utama program. Bagi booth pertama, ‘Kenali Label Makanan Anda’ menerapkan nilai berfikir secara kritis oleh peserta. Peserta perlu memikirkan hidangan pemakanan yang seimbang berdasarkan kepada konsep ‘Suku Suku Separuh’. Peserta diminta untuk memilih hidangan yang disediakan dalam bentuk gambar dan meletakkan setiap gambar makanan dalam pinggan yang dibahagi mengikut piawaian makanan ‘Suku Suku Separuh’. Melalui permainan ini, pengetahuan mengenai pembahagian makanan mengikut kuantitti yang betul dapat didedahkan kepada peserta yang terdiri daripada penduduk kampung. Seterusnya booth ini juga turut mempunyai permainan puzzle di mana peserta akan diberikan soalan mengenai apakah makanan tersebut dan kemudian diberikan puzzle untuk mendapatkan jawapannya.

Booth kedua iaitu ‘Gula dan Kesannya’ dijalankan dengan cara peserta diberikan penerangan berkenaan gula. Antara penerangan tersebut termasuklah berkenaan kandungan gula yang disarankan, akibat pemakanan gula yang berlebihan dan lain-lain. Selepas penerangan tersebut, peserta akan diuji sama ada mereka memahami terhadap penerangan tersebut di mana mereka akan diminta memilih jenis makanan dan meletakkan makanan ke dalam pinggan mengikut kandungan gula yang terdapat dalam makanan yang dipilih. Melalui aktiviti ini, peserta dapat belajar untuk mengawal pengambilan gula dalam diet pemakanan harian mereka.

Booth yang ketiga pula ialah Booth ‘Pemakanan Sihat’. Booth ini berkonsepkan Diet Chit Chat dimana ia bertujuan membolehkan peserta yang telah membuat saringan kesihatan untuk berjumpa dengan pakar pemakanan yang terdiri daripada pegawai dietetic dan pelajar semester ke-7 kursus dietetik untuk mendapatkan kaunseling dan bimbingan mengenai pemakanan mereka. Rata-rata peserta menunjukkan minat mereka untuk berjumpa dengan pakar pemakanan ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan status kesihatan dan pemakanan mereka.

Program diteruskan lagi dengan slot cabutan bertuah Dan pengumuman pemenang Cabaran 29 hari. Bagi pengumuman pemenang cabutan bertuah, ia diberikan kepada peserta yang berjaya menurunkan berat badan secara sihat selama tempoh 29 hari.

Melalui program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM ini, para peserta dapat menilai status pemakanan di kalangan orang dewasa dalam komuniti melalui penilaian antropometri. Aktiviti sebegini juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar-pelajar Dietetik dan pelajar Indonesia dari Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA) serta komuniti setempat. Dengan adanya program ini, diharapkan bahawa Fakulti Sains Kesihatan terutama persatuan DiETS menganjurkan lebih banyak program-program berbentuk kesukarelawanan dan kepimpinan di masa akan datang untuk menarik minat pelajar dari setiap persatuan dan mencungkil potensi di dalam diri mahasiswa.

Ucapan ribuan terima kasih daripada saya selaku pengarah program kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM ini terutama sekali ahli jawatankuasa program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM serta presiden dan Dr. Syahrul Bariah kerana telah memberi bimbingan dalam merancang dan menjalankan program ini. Tanpa jasa mereka, program ini mungkin tidak dapat berlangsung secara jayanya.

Disediakan Oleh,

NUR AIN BINTI ISMAIL JAR
Pengarah Program DiETS SCAN COMMUNITY X SULAM
Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) Fakulti Sains Kesihatan