Empat orang delegasi daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan P. Pinang telah menyertai Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Delegasi tersebut diketuai oleh Koordinator Program ACIS UiTMCPP iaitu Ustaz Hisyam Mohd Radzi dan disertai oleh Dr ‘Imaaduddin Abdul Halim, Dr Muhammad Anas Ibrahim dan Ustaz Muhammad Che Saad.
Persidangan selama dua hari iaitu bermula pada 15 hingga 16 Februari ini merupakan anjuran bersama diantara Al-Hady Centre Pulau Pinang, Zakat Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Pulau Pinang.
Tema persidangan ini adalah “Inovasi Tadbir Urus Zakat Dalam Merapatkan Kesenjangan Sosioekonomi Ummah”. Perasmian pembukaan persidangan telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, sambil disaksikan oleh YB Dato Dr Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Manakala, ucaptama pada hari kedua pula telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim. Beliau telah meluncurkan dua buah e-buku iaitu Isu Zakat Kontemporari: Himpunan Soal Jawab Zakat Berdasarkan Rujukan Kitab dan Fatwa dan Malaysia Madani Teras Kelestarian Kewangan Sosial Islam.
Dalam persidangan tersebut, ACIS UiTMCPP juga telah diberi peluang membentangkan 3 kajian yang berjaya dilaksanakan. Kajian-kajian tersebut adalah “Item Tolakan Untuk Zakat Pendapatan Dari Kumpulan Muzakki T20 di Pulau Pinang: Dapatan Kumpulan Fokus”, “Hasil Item Tolakan Pengiraan Zakat Pendapatan Dari Kumpulan Fokus Muzakki M40 Untuk Zakat Pulau Pinang” dan “Analisa Keperluan Utama Mahasiswa UiTM Cawangan Pulau Pinang 2023”.