Taman Negara Kuala Tahan, 15 Mei 2023 – Seramai enam orang wakil daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang (UCPH) yang diketuai oleh Koordinator ICAN UiTM Pahang, Dr Nurrohana Ahmad telah menjalankan lawatan tapak di perkampungan orang asli pada 6-7 Mei 2023. Tujuan lawatan adalah bagi meninjau kesesuaian untuk menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) bagi menjayakan Program Literasi Kelas Rimba Bateq yang bertempat di Kampung Cangkung, Taman Negara Kuala Tahan Pahang.
Kelas Rimba Bateq ini merupakan inisiatif YFBM untuk memberikan Pendidikan Asas 3M (Membaca, Menulis & Mengira) kepada anak-anak Orang Asli (OA) dari suku Bateq di Kampung Cangkung sekitar Kuala Keniam dalam Taman Negara sebagai persediaan ke sekolah aliran perdana. Sesi yang telah disertai oleh wakil UiTM Pahang ini merupakan sesi yang ke-18 daripada 50 sesi yang akan dijalankan setiap minggu sepanjang tahun (Jan – Dis 2023). Setiap sesi bersamaan 2 hari 1 malam (Sabtu & Ahad).
Pasukan UiTM bertolak seawal jam 7.30 pagi dan tiba di Jeti Kg. Pagi sekitar jam 10.30 pagi. Seusai persediaan tempat, kelas pertama dimulakan pada Jam 3.30 petang. Kelas berikutnya adalah pada sebelah malam dan pagi berikutnya. Setiap sesi kelas berlangsung sekitar 60 ke 90 minit. Selain tujuan meninjau tempat dan perjalanan program, pensyarah yang mengikiti lawatan tapak ini turut menjalankan aktiviti sukarelawan mengajar kelas rimba ini yang dibahagikan kepada tiga iaitu Kelas A, B dan C mengikut kemajuan pelajar. Senarai pensyarah yang terlibat selain daripada Dr Nurrohana adalah Cik Fatin Aqilah Abd Razak (Koordinator Korporat UCPH), Pn Nurul Nadiah Shahudin (FSR), Cik Mazlin Kusin (FSG), Cik Nor Atikah Mohamed Kassim dan En Mohd Azharul Azemi (FSR).
Selain daripada kelas yang berunsur akademik, aktiviti lain adalah senaman pagi dan penekanan aspek kebersihan diri melalui aktiviti gosok gigi dan mandi bersama dengan anak-anak orang asli yang terlibat. Pihak YFBM turut menyediakan makanan yang mengandungi nutrisi yang seimbang kepada pelajar serta sukarelawan sewaktu program berlangsung. Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pelajar yang cemerlang dan makan tengah hari. Terlalu banyak kenangan yang sukar dilupakan walaupun program ini berlangsung dalam masa yang singkat. Selain mempunyai nama yang unik, anak-anak OA ini ternyata mempunyai potensi untuk diketengahkan baik dari segi akademik mahupun sukan. Diharapkan satu kerjasama jangka masa panjang dapat dimetrai di antara kedua pihak di masa akan datang, supaya anak-anak OA dapat menerima manfaat seperti anak-anak seusianya yang belajar di aliran perdana. Akhir kata, program seumpama ini membolehkan ramai lagi warga UiTM Pahang bergiat dan menyumbang tenaga dalam aktiviti kesukarelawan.