COVID-19: PKP Serlah Potensi E-Dagang

Nukilan YBhg Datuk Naib Canselor UiTM , Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim

Ketika wabak COVID-19 bermula di Wuhan, China pada akhir tahun lalu, tidak siapa menjangkakan impaknya kepada dunia dengan jumlah kematian yang telah melebihi suku juta nyawa dan menjangkiti melebihi empat juta jiwa. Ini, tidak termasuk impak kepada ekonomi, budaya, sukan, dan sosial yang menggugat dan membantut keharmonian dan keselesaan gaya kehidupan harian penduduk dunia.

Kegiatan sukan sudah banyak yang ditangguhkan, aktiviti sosial pula tidak lagi digalak malah, dilarang, begitu juga dengan aktiviti budaya yang tidak dapat dijalankan. Lebih parah, aktiviti ekonomi yang menjadi nadi dalam kebanyakan aktiviti tersebut mengalami kerugian teruk. Kilang-kilang terpaksa ditutup, pengeluaran produk terjejas, aktiviti pusat-pusat beli-belah tidak lagi meriah seperti sebelumnya. Kadar pengangguran meningkat, para pekerja kehilangan pekerjaan, perniagaan mengalami kerugian dan masyarakat kehilangan punca pendapatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu sidang media mengenai COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua berkata negara kehilangan kira-kira RM2.5 bilion setiap hari berikutan penutupan aktiviti ekonomi. Begitulah besarnya impak COVID-19 terhadap ekonomi negara.

Terima perubahan

Kini, penduduk dunia perlu mengamalkan jarak sosial, bekerja dari rumah dan kekal di rumah semata-mata untuk menangani wabak COVID-19 daripada terus menular dan meragut lebih banyak nyawa. Menyedari hakikat ini, apakah pilihan yang kita ada? Kehidupan perlu diteruskan, perjuangan menangani kemelut wabak ini perlu ditangani dan wajib dimenangi.

PKP menjadikan penggunaan talian satu keperluan dan bukan lagi pilihan dalam kalangan kita. Pesanan makanan, pengurusan pejabat, pengendalian organisasi dan urus niaga ekonomi semuanya dilakukan secara talian. Jujurnya, gaya kehidupan kita telah beralih kepada kehidupan menggunakan talian untuk hampir semua urusan kehidupan. Inilah kebiasaan baharu kita.

Kita semua perlu bersedia dan siap siaga dengan kebiasaan baharu ini. Secara khusus, para usahawan perlu mengambil peluang ini memahami, memahirkan diri serta bijak untuk menjadikan urusan dalam talian ini membawa keuntungan, terutama dalam perniagaan. Kejayaan perniagaan dalam talian seperti Lazada, Mudah.com, Shoppe, Grab, Panda dan bermacam lagi boleh dijadikan sebagai rujukan dan idea untuk menyerlah potensi diri para usahawan dalam e-dagang.

Perkembangan semasa menyaksikan ‘kehidupan’ kita sudah banyak tertumpu kepada e-dagang. Urusan jual beli, pesanan barangan dan perkhidmatan dalam talian menjadi amalan harian. Persoalan seterusnya, sejauh manakah usahawan PKS terutamanya bumiputera dapat dan berjaya merebut peluang kebiasaan baharu ini untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Bagaimana mereka dapat menyerlahkan potensi e-dagang untuk menambah baik dan mengembang luas perniagaan masing-masing.

Manfaatkan e-dagang

Pada 2018, dinyatakan bahawa sumbangan usahawan bumiputera adalah hanya sekitar RM104 juta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka ini masih terlalu rendah berbanding nilai keseluruhan KDNK iaitu RM1.3 trillion. Data yang ada menunjukkan tidak lebih daripada 20 peratus golongan bumiputera menceburi bidang ekonomi digital. Angka ini menunjukkan golongan bumiputera masih kurang melibatkan diri secara menyeluruh dalam sektor ini. Realitinya, usahawan bumiputera lebih gemar menggunakan media sosial untuk berinteraksi daripada berjinak-jinak dengan e-dagang dalam perniagaan maya ini.

Berkongsi pengalaman Malaysian Academy of SME Entrepreneurship Development (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan bakal usahawan, para pelajar didedahkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran untuk menjadi usahawan yang berjaya, terutama dalam teknologi maklumat terkini. Sebagai Pusat Keusahawanan, MASMED amat mengambil berat mengenai potensi usahawan pelajar sedia ada yang bakal bergelar usahawan graduan selepas mereka tamat pengajian.

Satu inisiatif yang diketengahkan adalah “Buddy’s Holding Hand Concept”. Konsep ini dipupuk apabila usahawan pelajar yang pernah menyertai program yang dianjurkan oleh MASMED seperti Graduate Entrepreneurship Development Programme (GEDeP) atau Graduate Accelerator Entrepreneurship (GRACE) Lab untuk membimbing pelajar baharu yang berminat untuk menjadi usahawan. Usahawan pelajar yang telah mempunyai pengalaman berniaga ini akan menjadi mentor dan pembimbing elit kerana mereka telah pun mempunyai perniagaan sendiri dan sudah mempunyai pengalaman tentang selok-belok perniagaan sebagai usahawan pelajar.

Melalui MASMED Business Talk pula, pelbagai siri latihan keusahawanan dalam talian dengan memberi fokus kepada aspek teknologi dalam talian, teknik pemasaran luar biasa mengikut trend, pengaruh media sosial dan tips membuat analitik perniagaan yang berkesan telah dijalankan. Sebagai contoh, Boost Your Sales with Google Ads, Running an Online Business: What Would Your Lawyer Wants You to Know, How to Run FB Ads: A Step-by-Step Guide to Advertising on FB dan Starting Your Online Store telah disampaikan oleh para pensyarah UiTM yang pakar dalam bidang-bidang tersebut. Siri latihan keusahawanan atas talian MASMED ini adalah antara inisiatif agresif yang dilakukan UiTM untuk membantu para usahawan, khususnya yang terjejas dengan PKP ini.

Teknologi digital semakin meluas

Realitinya, ekosistem kini mewajarkan penggunaan meluas teknologi digital secara inovatif, kreatif dan produktif untuk merancakkan e-dagang dan amat penting untuk para usahawan melibatkan diri secara lebih agresif. Ilmu sentiasa dicari, teknologi dikongsi, ekonomi dirai dan keuntungan dapat dirasai serta dinikmati.

Inilah masanya setiap usahawan merebut peluang menyerlah potensi diri masing-masing dalam perniagaan untuk memaksimumkan penggunaan dan kepentingan e-dagang demi survival masa hadapan yang mencabar.

Di mana ada usaha, di situlah ada jalan. Di mana ada rezeki maka, di situlah kita mesti cari dan gali. Kita juga mesti percaya dan yakin bahawa setiap yang berlaku ini ada hikmahnya.

Jika dahulu, para usahawan mungkin tidak terfikir beralih kepada e-dagang, kini ia adalah keperluan dan penyelesaian penting kepada perkembangan serta kemajuan perniagaan masing-masing.

Sumber:
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1843414&fbclid=IwAR0KHVEwXq3wl8CPp3P19jdCeO_wLVKiD7cEIjk8tfNTELoZTMAIsqRrVRs

1
0