Content Creator Digital Bootcamp (CCDB) 2024

5 Oktober 2024 – Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) telah berjaya menganjurkan Content Creator Digital Bootcamp (CCDB) 2024 buat pertama kali bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri. Program selama 5 hari 4 malam ini telah diadakan di Pusat Latihan Kenegaraan Maran, Pahang, bermula 30 September sehingga 4 Oktober 2024.

Program ini bertujuan mendidik pelajar universiti menjadi eduinfluencer dan content creator yang bertanggungjawab, serta menggunakan media sosial sebagai platform keusahawanan digital, telah dihadiri oleh 100 peserta dari tiga universiti awam iaitu UPM, UTHM, dan UiTM. Para peserta telah didedahkan kepada 15 modul yang merangkumi 5 modul penciptaan kandungan, 5 modul kenegaraan dan 5 modul persiapan kerjaya. Program ini disokong oleh tenaga pengajar hebat termasuk jurulatih dari UiTM, pempengaruh jemputan khas, Amin x Abid, pemenang TikTok EduCreator Award 2024, jurulatih dari industri seperti Aisling Consulting, Talentbank, dan TikTok Lah Media, serta jurulatih kenegaraan dari AKM.

Selain membuka jalan untuk keusahawanan digital, bootcamp ini turut mempersiapkan para graduan dengan pelbagai kemahiran yang sangat penting untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya ialah kemahiran komunikasi, pemikiran kreatif, pengurusan masa, adaptasi teknologi, pemasaran digital, dan kerja berpasukan. Semua kemahiran ini bukan sahaja membantu mereka menjadi pencipta kandungan yang berjaya, tetapi juga menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja moden.

Program CCDB ini telah mendapat tajaan, sokongan dan kerjasama daripada VFive Group, Aisling Consulting, Talentbank Sdn Bhd, dan Bank Islam. Dengan sokongan teguh daripada penaja dan kerjasama erat antara industri dan akademia, Content Creator Digital Bootcamp 2024 ini telah berjaya mencapai matlamat untuk melahirkan generasi pencipta kandungan usahawan yang bertanggungjawab dan berdaya saing. Program ini juga telah mendapat mandat daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk diteruskan pada tahun-tahun akan datang.