Civil Engineering Sport Event (CESE): Platfom Terbaik Mengeratkan Silaturrahim antara Pelajar dan Staf Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA)

13 – 14 Januari 2024 – Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Awam (CESS) dibawah kelolaan Encik Mohd Mawardi bin Mohd Kamal telah menganjurkan Hari Sukan Kejuruteraan Awam (CESE) selama dua hari yang melibatkan semua pelajar serta staf Kejuruteraan Awam UiTM Jengka, Pahang. Motif utama penganjuran acara sukan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim serta semangat berpasukan antara staf dan juga pelajar. Empat buah rumah sukan telah berentap dalam acara ini iaitu rumah merah, biru, hijau dan juga ungu.

Seramai 256 orang pelajar serta 40 orang staf yang terdiri daripada pensyarah dan penolong jurutera telah hadir bagi menjayakan aktiviti sukan ini. Sebanyak 10 acara sukan dan sukaneka telah dipertandingkan antaranya bola tampar, futsal, badminton, karom, bola ratu, ‘catch it or break it’, lari dalam kain, ‘spill the tea’ serta acara pecahkan belon. Dengan adanya acara sebegini, mahasiswa secara tidak langsung dapat mencungkil bakat yang terpendam dalam acara sukan yang diminati.

Acara sukan ini melabuhkan tirainya dengan kemenangan penuh yang berpihak kepada rumah hijau sebanyak 35 mata. Tempat kedua pula dimenangi oleh rumah merah, diikuti dengan rumah biru dan juga ungu. Majlis diakhiri dengan ucapan perasmian penutup oleh Ketua Pengajian Kejuruteraan Awam, Ts Zulhafizal bin Othman, majlis penyampaian hadiah serta sesi bergambar. Tahniah diucapkan kepada Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Awam (CESS) atas penganjuran aktiviti sukan yang cukup bermakna ini.