Parit Mahang, 3 Ogos 2022 – Kursus Celik Wang Siri 2 telah berjaya dilaksanakan oleh Research Focus Group (RFG) Financial Literacy melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Ianya adalah salah satu hasil dari Jalinan Komuniti di antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang (SKPM), Jeram.
Majlis dimulakan dengan ucapan Guru Besar SKPM, Puan Noraliza Nawam. Beliau menyeru para pelajar untuk memanfaat ilmu yang akan dikongsi oleh para pensyarah dari UiTM, Kampus Puncak Alam. Seterusnya Dr Imani Mokhtar selaku Ketua Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan menyatakan usaha sebegini memberi banyak manfaat kepada kedua – dua pihak dalam pelbagai aspek terutama pemindahan ilmu.
Pada kali ini, murid – murid Tahun 6 SKPM ini didedahkan langkah mudah untuk menguruskan kewangan dengan baik berserta dengan beberapa saranan agar tabiat menabung dapat dijadikan amalan berterusan. Langkah pertama adalah mereka diminta menuliskan matlamat kewangan. Mereka juga dibimbing untuk mempunyai matlamat kewangan berkesan yang merangkumi semua aspek formula “SMART”. Seterusnya mereka dibimbing untuk mencatatkan aliran tunai menggunakan Buku Wang Saku yang disediakan.
Buku Wang Saku ini boleh digunakan sebagai motivasi kepada para pelajar untuk menyimpan wang kerana mereka dapat mengetahui berapa banyak lagi yang diperlukan untuk mencapai matlamat kewangan. Sekiranya masa telah suntuk kelak, mereka perlu berfikir dengan kritis dan kreatif untuk menambahkan pendapatan. Inilah semangat yang ingin dipupuk di kalangan pelajar.
Tabiat menyimpan dan menambah pendapatan pastinya akan dapat membasmi kemiskinan di masa hadapan. Ini adalah amat selari dengan “Sustainable Development Goal 1 (SDG1)” iaitu sifar kemiskinan. Kursus Celik Wang yang diusahakan oleh 4 orang pensyarah Kewangan iaitu Dr Norzitah Abd Karim, Dr Siti Aminah Mainal, Dr Nura Lina Md Elias dan Puan Syahrul-Niza Kamarul Ariffin adalah untuk mengubah cara fikir dan tingkah laku para pelajar agar dapat mengurus kewangan dengan bijak di masa hadapan.