UiTM Dan Asas Stabil Sdn. Bhd. Tandatangani Mou Wujudkan Kerjasama Dinamik Membangunkan Teknologi Aeroangkasa Dan Penderiaan Jauh Berasaskan Satelit

SHAH ALAM, 03 OGOS 2022– Satu Memorandum Persefahaman telah dimeterai antara Universiti Teknologi  MARA (UiTM) menerusi Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) serta Kolej Pengajian Kejuruteraan dengan Asas Stabil Sdn. Bhd. bagi membangun teknologi aeroangkasa dan penderiaan jauh berasaskan satelit. MoU dimeterai antara Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dengan Dato’ Lee Lik Khuang, Ketua Pegawai Eksekutif Asas Stabil Sdn. Bhd. di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Majlis juga turut disempurnakan dengan kehadiran Timbalan-Timbalan Naib Canselor UiTM, pengurusan tertinggi kampus dan fakulti yang terlibat dengan kerjasama ini.

Asas Stabil Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat swasta yang telah ditubuhkan pada 28 Mac 2013 di Kuala Lumpur yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang telekomunikasi, teknologi maklumat dan pengurusan rangkaian maklumat dan terkini dikenali sebagai sebuah syarikat teknologi angkasa dan satelit. Asas Stabil Sdn. Bhd. berhasrat untuk dikenali sebagai syarikat peneraju dalam penyediaan perkhidmatan satelit dan fasiliti, penyedia maklumat komunikasi dan IoT bagi rangkaian bumi dan angkasa di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Projek teknologi aeroangkasa dan penderiaan jauh bersama Asas Stabil Sdn. Bhd. ini melibatkan usahasama antara FSPU, UiTM Kampus Cawangan serta beberapa fakulti lain iaitu Kolej Pengajian Kejuruteraan, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM). Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, FSPU Shah Alam dan Perlis akan berperanan membangunkan aplikasi menggunakan imej satelit beresolusi tinggi dari pelbagai jenis sensor dan pelbagai satelit bagi tujuan aplikasi dalam bidang pertanian pintar, bandar pintar, perancangan gunatanah, pengurusan bencana, kesihatan awam, keselamatan makanan dan sebagainya.

Kolej Pengajian Kejuruteraan pula akan menerajui kerjasama pembangunan dalam bidang teknologi aeroangkasa seperti pelancaran satelit Mikro dan Nano di  Low Earth Orbit (LEO)  serta pembangunan sensor untuk pelbagai aplikasi.  UiTM Perlis akan menjadi hos kepada Stesen Satelit Bumi yang mampu menerima data (imej) dari perbagai satelit. Fakulti Perladangan akan berperanan memberikan tenaga kepakaran dan khidmat nasihat mengenai pertanian dan perladangan. Pembangunan Algoritma Kecerdasan Buatan (Artificial  Intelligence algorithm) bagi pelbagai aplikasi akan diterajui oleh Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Kolaborasi universiti-industri  juga dilihat sebagai langkah strategik mengukuhkan  kerjasama dinamik ke arah mewujudkan rangkaian pengukuhan teknologi aeroangkasa dan penyelesaian pintar di dalam pelbagai aplikasi. Pembinaan Stesen Bumi Satelit bagi tujuan penerimaan data telekomunikasi dan penderiaan jauh dari satelit orbit rendah dan orbit sederhana di UiTM juga bakal memberi impak yang sangat besar kepada ilmu di dalam bidang teknologi aeroangkasa khususnya meningkatkan kemampuan membina Nano Satelit kepada satelit Mikro melalui kerjasama dengan negara maju seperti China dan Jepun.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata “Usaha perkongsian dinamik ini adalah selaras dengan agenda negara melalui Dasar Angkasa Negara 2030 yang menekankan kepada matlamat menjadikan teknologi angkasa sebagai penyumbang strategik kepada kedaulatan dan daya saing negara bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kemajuan ilmu untuk kesejahteraan semua. Usaha pengkongsian ilmu bersama dengan pihak industri amat ditekan oleh UiTM dan ianya adalah selari dengan objektif Pelan Startegik UiTM 2025 untuk menjadikan UiTM Universiti Tersohor Dunia.”

Pihak UiTM melihat impak daripada projek kerjasama ini akan dapat memacu elemen sinergi dalam bidang penyelidikan, seterusnya merealisasikan pembentukan Pusat Kecemerlangan yang menggabungkan kesemua penyelidik UiTM di dalam bidang berkaitan.