Cakna Kimia: Memahami Konsep dengan Mudah

JASIN, 10 Jun 2023 – Dalam usaha meningkatkan pemahaman dan prestasi akademik pelajar dalam subjek Kimia, bantuan daripada pensyarah Kimia amat diperlukan. Justeru itu, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, (FPA) dengan kerjasama pensyarah Kimia Fakulti Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Jasin telah mengadakan “Seminar Kecemerlangan Kimia 2023” kepada pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110). Program yang berlangsung selama tiga jam ini telah diadakan di Dewan Kuliah B UiTM Kampus Jasin dan dihadiri seramai 70 pelajar. Objektif program ini bertujuan memantapkan pemahaman pelajar dalam subjek kimia dan membantu para pelajar menghadapi penilaian berterusan (continuos assessment) yang diadakan sepanjang semester. Ianya secara tidak langsung membantu pelajar memperolehi gred yang terbaik di dalam subjek Kimia.

Intipati pengisian program ini adalah pelajar diajar cara mudah memahami konsep Kimia seperti penggunaan formula dalam penyelesaian masalah, pertukaran unit, penamaan saintifik sebatian kimia, asid dan alkali, konsep kepekatan dan pencairan, kimia organik dan banyak lagi. Aktiviti program ini dimulai dengan sesi motivasi daripada Pensyarah Kimia, Dr Mohd Zuli Jaafar bertujuan bertujuan memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha dan berjaya dalam subjek Kimia. Seterusnya taklimat daripada Pensyarah Kimia selaku Pengarah program, Pn Nur Atiqah Zaharullil tentang aplikasi kimia dalam bidang perladangan dan agroteknologi.

Program ini sangat signifikan untuk mengubah persepsi pelajar terhadap subjek kimia yang dikatakan sukar di dalam pengajian mereka. Besar harapan penganjur agar pelajar dapat mengaplikasikan pengisian yang diberi dalam mencapai kejayaan yang gemilang.

Penulis Artikel :
1.Nur Atiqah Zaharullil
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan UiTM Melaka Kampus Jasin.
atiqah0361@uitm.edu.my