Builders’ Convention Day: Embracing Smart Construction, Membudayakan Inovasi dan Berdaya Saing

Menyahut seruan Negara Madani dan selaras dengan era industri 4.0, program pembinaan, UiTM Cawangan Perak telah mengambil satu inisiatif dengan mengadakan Builders’ Convention Day 2023 (BUILDCON2023), yang bertemakan Embracing Smart Construction pada 21 hingga 22 Jun 2023. BUILDCON2023 ini melibatkan sebahagian pelajar Diploma Bangunan dan Diploma Teknologi Binaan (AP116/CFAP126) daripada semester 2 dan 6, serta pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembinaan (AP256/CFAP266) daripada semester 4, 5 dan 6 dengan jumlah keseluruhan 581 pelajar. Manakala, 37 pensyarah dari program pembinaan, UiTM Cawangan Perak turut serta bagi memberi sokongan BUILDCON2023.

Perasmian BUILDCON2023 dilaksanakan oleh Ybhg, Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Cawangan Perak. Turut dihadiri barisan Pengurusan Eksekutif, Profesor Madya Dr Norhayati Baharun, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr Azian Zaidi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Profesor Madya Dr Muhammad Abd Aziz Ab. Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni. Pihak program turut menjemput pemeriksa luar (industri dan akademik) iaitu Dato Ts Dr Gerald Sundaraj, CIDB Wilayah Persekutuan dan Profesor Dr Noridah Mohamad, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Tun Hussein On, sebagai Keynote Speaker serta juri jemputan. Penglibatan pihak program sebagai Keynote Speaker telah diwakili oleh Ts Dr Dzulkarnaen Ismail. Tidak ketinggalan, wakil alumni pelajar program pembinaan iaitu Tuan Muhammad Afiq Bin Arif turut serta sebagai juri projek inovasi pelajar.

Pada hari pertama, pelajar-pelajar semester 6, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembinaan (AP256) telah diberi peluang untuk mempamerkan dan membentangkan projek inovasi yang telah pelajar membangunkan selama setahun melalui 2 kod kursus BCT604 dan BCT654 (Inovasi I dan Inovasi II). Hasilnya, pelajar – pelajar ini telah mendapat maklumbalas yang positif dari juri-juri, malah ada yang berpandangan projek inovasi pelajar ini boleh dipatentkan serta ada nilai komersial. Maka, tercapailah matlamat BUILDCON2023 ini diadakan untuk membuka peluang dan ruang kepada pelajar khusus dari program pembinaan dengan membudayakan kemampuan mencipta sesuatu yang inventif, merangkumi pemikiran yang kritis bukan sahaja penyelesaian masalah tetapi idea yang memenuhi pasaran. Cetusan idea yang terhasil daripada pelajar merupakan nilai tambah pada bakal graduan, dan berdaya saing dalam menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.

Hari kedua, diteruskan dengan perkongsian ilmu bersama pihak industri iaitu MC Bauchemie (Malaysia) Sdn Bhd diwakili oleh Tuan Shamsul Kahairial Khilmi Ahmad sebagai Lead Technician dan dibantu oleh Tuan Mohamad Fairidz Bin Mohamad Aripin selaku Field Technician. Syarikat ini memperkenalkan ‘Injection system’ dengan membuat demonstrasi pada tiga komponen iaitu single component polyurethane, two component epoxy and polyurethane dan MC-Fastpack system. Pendedahan ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar serta pemindahan ilmu dalam teknologi bahan binaan di Malaysia.

Sesi perkongsian ini sebagai penutup BUILDCON2023 yang diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada wakil syarikat MC Bauchiemie Sdn Bhd tanda penghargaan dari pihak program pembinaan UiTM Cawangan Perak.