Briged Sukarelawan UiTM Terokai Kesukarelawanan Antarabangsa Di Negara Mauritius

SHAH ALAM, 25 NOVEMBER 2022 – Briged Sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar bakal melakar satu sejarah baharu dalam aktiviti kesukarelawanan dengan menganjurkan Program UiTM Global Volunteering: Mauritius Youth & Community Development 2022. Program kesukarelawanan antarabangsa yang akan diadakan bermula 22 November hingga 2 Disember 2022 ini akan dijayakan oleh 3 orang staf bersama 30 orang pelajar dari pelbagai kolej pengajian di UiTM. Perancangan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan di Mauritius juga dibantu oleh rakan kerjasama UiTM iaitu Malaysian Consortium Education of Mauritius (MCEM) dan Mauritian Islamic Cultural Centre (MICC) hasil MOU yang telah dimeterai sebelum ini.

Sebagai salah satu program yang mendapat sokongan dari Dana Mobiliti Pelajar UiTM iaitu Pejabat UiTM Global dan kelulusan dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), ianya bertepatan dengan perancangan strategik universiti bagi mencapai Globally Renowed University (GRU2025) menjelang tahun 2025. Ini juga menunjukkan kesungguhan dan komitmen pihak pengurusan tertinggi universiti dalam menyokong program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa dan bertepatan dengan tema Globally Competent bagi tahun 2022 dan Globally Marketable Graduate bagi tahun 2023.

Bagi meningkatkan ketampakkan universiti di peringkat antarabangsa, aktiviti sepanjang program ini dirancang agar dapat menjayakan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Terdapat 5 aktiviti kemasyarakatan, 6 lawataan akademik dan 3 perbincangan intelek akan dijalankan bersama universiti, NGO dan komuniti sekitar. Isu-isu yang dibincangkan termasuk Challenges of Young Muslim, Employability & Future of Work, Future Leadership, Mental Health and Wellbeing dan Digitalisation of Education dari kedua buah negara.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, beliau berharap bahawa program ini akan meningkatkan lagi kemahiran insaniah dan memberi impak yang tinggi, seterusnya melahirkan Mahasiswa UiTM yang berkualiti tinggi.

Misi utama program ini adalah untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara melalui aktiviti yang berteraskan SDG. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah Seminar Antarabangsa, Forum Industi Halal, Pemuliharaan Alam Sekitar, Persembahan Seni & Kebudayaan, Aktiviti Sains, Teknologi, Engineering & Matematik dan Persembahan Masakan Malaysia-Mauritius. Kumpulan sasaran yang akan terlibat secara langsung dalam semua aktiviti ini terdiri dari golongan belia, komuniti, agensi kerajaan Mauritius, NGO dan pelajar universiti di Mauritius.

Menurut Ketua Delegasi Program, Prof. Madya Dr. Mohd Azman Yahaya, Pengarah Pusat Kokurikulum, program ini merupakan platform terbaik untuk pelajar melaksanakan program kesukarelawanan berimpak tinggi disamping mempelajari adat dan budaya masyarakat di sana.