Bicara Bersama Pakar : Perkongsian Kepentingan Perancangan Kewangan

Kuala Terengganu, 31 Disember 2024 (Selasa) – Perpustakaan Cendekiawan dengan kerjasama Unit Pentadbiran UiTM Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu telah berjaya menjalankan program Bicara Bersama Pakar yang bertajuk Awareness Talk on Financial Planning ( Perkongsian Kepentingan Perancangan Kewangan). Program ini dilaksanakan di Dewan Lestari, UiTMCT Kampus Kuala Terengganu dan secara atas talian (Youtube Perpustakaan) bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari yang dikendalikan oleh Cik Tengku Alia, pelajar latihan industri Perpustakaan Cendekiawan. Penceramah jemputan Bicara Bersama Pakar, En. Toh Seng Khim merupakan seorang Konsultan Perakaunan yang berkhidmat di Kelvin Tan & Associate.

Program ini membicarakan mengenai cara perancangan kewangan dengan lebih mudah di samping memberikan faedah jangka masa panjang. Selain berkongsikan pelbagai teknik perbelanjaan yang betul, beliau juga turut menasihati agar perbelanjaan perlu dilakukan secara seimbang dan tidak melebihi daripada pendapatan.

Selain dari warga UiTM, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Kuala Terengganu antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Panji Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong.

Program yang berdurasi selama dua jam itu telah mendapat maklumbalas yang baik dari kalangan peserta dan dengan perkongsian ini diharap dapat memberikan banyak manfaat kepada peserta terutamanya pelajar sekolah untuk amalan pengurusan kewangan terbaik.