Program Literasi Maklumat Program ‘Speed Reading’ Bersama Pengawas Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bukit Besi

Bukit Besi, 28 November 2024 – Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bukit Besi telah berjaya menganjurkan Program ‘Speed Reading’ Bersama Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Program ini yang dijalankan di peringkat komuniti sekolah bertujuan menyahut amanah Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dalam memperkasakan program pembudayaan ilmu kepada komuniti.

Program Bacaan Pantas ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar sekolah untuk mempelajari teknik bacaan pantas antaranya teknik eye fixation, scanning, skimming dan banyak lagi, Dengan mempelajari teknik-teknik ini, para pelajar dapat mengesan kelajuan bacaan mereka per minit dan dapat meningkatkan jumlah bacaan bagi program Nilam sekaligus memupuk minat membaca.

Program yang menyasarkan 37 orang Pengawas Pusat Sumber ini sebenarnya bertujuan menjadikan mereka sebagai perintis kepada teknik bacaan pantas untuk disebarluaskan teknik ini kepada rakan-rakan yang lain. Ini kerana mereka adalah kelompok pelajar yang lebih dekat dengan sumber ilmu.