Sedekah digambarkan sesuatu yang sangat luar biasa, ia mampu menghapuskan dosa kecil, membuka pintu rezeki, malahan orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan pada hari akhirat kelak.
Allah berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Namun begitu, amalan ini kepada sebilangan kita masih lagi dirasakan sangat berat, kerana manusia secara umumnya tidak suka berkongsi hartanya.
Bagi golongan yang berniaga juga boleh melaksanakan ibadah sedekah dengan cara yang mudah di dalam kegiatan harian mereka, bak kata orang, mereka yang percaya dengan konsep “rezeki tidak salah alamat” dan berpegang dengan niat yang mencari keredhaan Illahi pastinya tidak mahu melepaskan peluang berniaga sambil bersedekah ini.
Bagaimanakah ini boleh dilakukan kerana masih ramai yang beranggapan bahawa sedekah ini akan mengurangkan keuntungan perniagaan?
Sebenarnya amalan membuat kebajikan ini mempunyai kuasa istimewa yang pastinya boleh menaikkan perniagaan terutamanya sekiranya ia diiringi dengan niat yang betul, dan peniaga pula terus konsisten di dalam usaha untuk melariskan perniagaan dengan jalan yang diredhaiNya. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya “Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya” (Riwayat Al Baihaqi dan Ar Rabi’).
Contoh yang paling mudah cara bersedekah ialah, sekiranya harga jualan itu nilainya RM10.50 maka peniaga bolehah menggenapkan sahaja kepada RM10. Percayalah cara ini bukan sahaja membuatkan pelanggan rasa tertarik dengan akhlak peniaga dan besar kemungkinan pelanggan akan kembali mengulangi pembelian di premis perniaaan tersebut dengan senyuman manis.
Pernah juga penulis pergi ke gerai makan tetapi apa bila hendak membayar, peniaga mengatakan jualan hari itu sudah ada yang menaja dengan niat sedekah pada hari Jumaat. Agak terperanjat juga tapi sudah tentu penulis berlalu pergi dengan perasaan gembira. Yang pasti, ramai yang mendoakan si penaja itu tadi dengan kesejahteraan dan didoakan murah rezeki.
Melalui pemerhatian, antara cara lain yang pernah lihat dibuat peniaga ialah dengan menambah barangan percuma di dalam pembelian pelanggan. Sudah tentu barangan ini walaupun kebiasanya nilainya kecil tetapi peniaga diingat untuk tidak memberi barangan yang sudah rosak atau tamat tarikh luput.
Ada juga yang melebihkan sedikit barangan dibeli, ini saya lihat biasa dibuat oleh peniaga buah-buahan atau sayur-sayuran. Masya-Allah, nampak sahaja macam mudah tetapi perbuatan seperti ini memerlukan hati yang ikhlas dan terhindar dari sifat tamak akan harta di dunia.
Selain itu, di kedai makan contohnya, ulam-ulaman diberi secara percuma, atau air minuman kordial seperti sirap atau the-o ais juga beri sahaja percuma sahaja oleh peniaga. Walaupun mungkin ada melihatnya sebagai teknik pemasaran semata-mata, diyakini adanya niat bersedekah di sebalik. Bersedekah sambil berniaga pastinya amalan terpuji, selain boleh mengelakkan kita dari sifat takbur dan sombong, InshaAllah membawa kepada keberkatan, kerana apalah gunanya harta yang banyak tanpa keberkatan.