Bengkel Training Of Trainers (TOT) Panel Temu Duga Zakat UiTM (Zon Selatan) telah diadakan pada 1 hingga 3 Jun yang lalu di A’Famosa Resort Melaka. Panel yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terlibat secara langsung dengan urusan zakat Zon Selatan (Melaka, Johor dan Negeri Sembilan). Seramai 100 orang panel menjayakan program tersebut. Bengkel ini diadakan bagi tujuan mendedahkan kepada penemu duga beberapa panduan penting yang mesti diikuti dalam melaksanakan proses temu duga kepada semua pelajar yang memohon.
Unit Zakat Sedekah dan Wakaf memerlukan tenaga yang ramai untuk menjalankan sesi temu duga pelajar. Kebanyakan panel temu duga yang terlibat terdiri daripada staf UiTM di bahagian pentadbiran atau akademik. Oleh yang demikian untuk memantapkan lagi ilmu dan melicinkan gerak kerja zakat satu program dirangka bagi melicinkan gerak kerja.
Antara intipati pengisian berkaitan Asnaf Fakir menurut Imam Syafie, Teknik Temu Duga Zakat Efektif dan Kenali Asnaf Fakir, Miskin, fisabilillah dan Muallaf dalam kalangan mahasiswa UiTM serta menyampaikan beberapa prosedur berkaitan proses e-Zakat yang mesti digunakan oleh pihak penemu duga. Majlis perasmian diserikan dengan kehadiran Rektor UiTM Cawangan Johor Profesor Madya Dr. Saunah Zainon dan majlis penutup oleh Profesor Madya Dr. Ismadi Md Badarudin Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Melaka.
Justeru, dengan kerjasama dan sokongan Profesor Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob, Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM Shah Alam, Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, satu bengkel TOT kepada pihak penemu duga berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Semoga usaha ini akan berterusan di masa akan datang.