Bengkel Silibus Baru bagi Program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian (CAAD134)

Pada 17 dan 18 Julai 2023, telah berlangsung Bengkel Silibus Baru bagi Program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian (CAAD134) secara dalam talian melalui platform Google Meet. Inisiatif ini telah dijalankan oleh Jabatan Seni Reka Perindustrian di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM cawangan Kedah dan UiTM cawangan Melaka, Kampus Lendu. Para peserta bengkel terdiri daripada 19 orang pensyarah yang mengajar di kedua-dua kampus UiTM, dan penyelaras utama untuk bengkel ini adalah En. Mohd Hamidi Adha Mohd Amin dan di kelolai oleh Ketua Pengurusan Jabatan Seni Reka Perindustrian, Puan Fadila Mohd Yusof.

Tujuan utama bengkel silibus baru ini adalah untuk membincangkan kod kursus baharu yang akan diperkenalkan dalam program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian, yang dijadualkan bermula pada sesi Oktober 2023. Dengan berkembangnya teknologi dan permintaan pasaran yang berubah dalam industri seni reka perindustrian, semakan semula dan dan pemurnian kurikulum adalah suatu keperluan yang penting. Oleh itu, bengkel ini telah memberi peluang kepada pensyarah untuk menyelaraskan matlamat program dengan keperluan semasa industri.

Bermula dengan perbincangan tentang kod kursus baharu, bengkel ini menumpukan perhatian kepada kandungan setiap kursus dari semester 1 hingga semester 5. Dalam usaha untuk memenuhi cabaran semasa, isi kandungan setiap kursus direka semula dengan penekanan pada pengintegrasian teknologi digital terkini dan prinsip seni reka yang sesuai. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dan menggunakan teknologi terkini yang digunakan dalam industri, disamping memastikan asas seni reka tidak dilupakan.

Sejajar dengan perkembangan teknologi dan permintaan industri, jumlah tugasan yang diberikan bagi setiap kursus juga menjadi fokus perbincangan dalam bengkel ini. Para pensyarah telah membincangkan cara untuk menyusun tugasan yang relevan dan komprehensif. Selain itu, aspek kemudahan fasiliti dan penggunaan mesin dalam setiap kursus turut menjadi tumpuan untuk memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif dan berupaya meningkatkan kemahiran praktikal mereka.

Sebagai kesimpulan, Bengkel Silibus Baru bagi Program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian (CAAD134) ini telah mencapai hasil yang memuaskan dengan menyusun kod kursus baharu yang sesuai dengan keperluan semasa industri seni reka perindustrian. Kurikulum yang diperbaharui ini akan memberikan manfaat yang besar terutamanya kepada pelajar di bidang seni reka perindustrian, pendidikan yang berkualiti dan menyeluruh untuk bersaing di pasaran kerja yang kompetitif. Diharapkan dengan inisiatif ini, graduan program ini akan menjadi tenaga kerja yang terlatih, berdaya saing, dan memberikan sumbangan berharga dalam industri seni reka perindustrian di masa depan.