KOTA KINABALU, 16 Ogos 2023 – Unit Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan Kerjasama AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam) UiTM Cawangan Sabah telah menganjurkan Program Pembangunan Psikologi Staf: Bengkel Psychological First Aid (PFA) UiTM Cawangan Sabah di Smarclass Room, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Sabah. Bengkel yang telah disertai oleh 45 staf UiTM Cawangan Sabah memberi pendedahan kepada para peserta akan kepentingan Psychological First Aid, menyampaikan maklumat dan bentuk bantuan awal yang boleh diberikan kepada individu yang mengalami krisis dan membimbing peserta tentang kaedah mengaplikasi PFA kepada individu (staf/pelajar) yang mengalami krisis sebelum dirujuk kepada pihak ketiga.
Perkongsian maklumat, pengalaman dan pengurusan PFA dari penceramah jemputan yang memiliki kepakaran PFA iaitu Puan Angela Julip Jainul, Pegawai Psikologi Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan Puan Clarice Andrew Sibun, Pegawai Psikologi Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu memberi nilai tambah kepada peserta bengkel dan teknik PFA yang mudah diaplikasikan dalam situasi kehidupan seharian.
Dewasa ini, PFA amat penting dalam kehidupan seharian dan dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Selain menyediakan payung sebelum hujan, peserta mendapat manfaat berkenaan aktiviti kebajikan, kemasyarakatan serta kesukarelawanan dan mampu membantu staf/pelajar/ahli keluarga/individu yang berisiko mengalami krisis serta pembangunan diri yang positif.