Bengkel Penyediaan Sudut Amalan 3R di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar (SMeKSI)

Bengkel Penyediaan Sudut Amalan 3R di Sekolah telah dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar (SMeKSI), Seri Iskandar Perak pada 13 Disember 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat, SMeKSI.  Program bengkel telah bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 5 petang dan melibatkan seramai 19 orang pelajar sebagai peserta bengkel.  Semua pelajar yang terlibat merupakan ahli Skuad Tunas Hijau sekolah. Skuad Tunas Hijau merupakan ejen yang bertanggungjawap  untuk memastikan semua murid dan warga sekolah bekerja dalam satu pasukan dalam memelihara alam sekitar di peringkat sekolah. Mereka juga merupakan suri teladan bagi memperkasakan amalan 3R di peringkat sekolah. 

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengetua SMeKSI, Tuan Haji Izamuudin Bin Ismail dan dibantu oleh PK Kokurikulum, Puan Hjh Rohayati bt Abd Rani dan Penasihat Skuad Tunas Hijau, Puan Nurul Hawa Binti Mohammad Zalkornain.  Aktiviti bengkel ini telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak iaitu Profesor Madya Ts Dr. Siti Akhtar Mahayuddin dan Dr Noor Rizallinda Ishak serta dibantu oleh empat orang pelajar program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan. Tumpuan utama bengkel ini diadakan ialah perkongsian pengetahuan dan pendidikan mengenai amalan 3R dan sisa pepejal plastik kepada Skuad Tunas Hijau untuk penyediaan sudut amalan 3R di sekolah.

 

 

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan asas mengenai kaedah menguruskan plastik sekali guna di sekolah. Bengkel ini dibahagikan kepada 5 sesi iaitu taklimat, kuiz, demostrasi, aktiviti berkumpulan dan penilaian bengkel. Antara kandungan taklimat adalah, impak negatif sisa pepejal kepada alam sekitar, sisa pepejal di SMeKSI, pengenalan kepada pengurusan pepejal dan juga konsep Asing, Kumpul, Letak (AKL) untuk 3R. Pengetahuan asas mengenai pengurusan sisa pepejal amat penting kerana ia dapat memberi kesedaran dan mengubah sikap individu. Amalan Reduce, Reuse, Recycle (3R) perlu diperkasakan di peringkat sekolah dan melibatkan semua pihak secara bersepadu. Oleh itu, penceramah telah menekankan 4 aspek utama pengurusan sisa mengikut hierarki pengurusan sisa iaitu, Pengurangan, Guna semula, Kitar Semula dan Lupus.

Sesi kedua bengkel ialah kuiz untuk menilai tahap kefahaman peserta setelah mendengar ceramah yang telah diberikan.  Seterusnya satu sesi demonstrasi kaedah menguruskan sisa pepejal plastik secara sistematik mengikut hierarki pengurusan sisa telah diadakan.  Susulan daripada ceramah dan demonstrasi tersebut, kesemua peserta diminta meleperkan botol plastik sebagaimana yang telah ditunjukkan.  Tujuan aktiviti ini adalah untuk memastikan demonstrasi yang telah diajar dapat dipraktikkan secara sistematik dan betul oleh para peserta. 

Seterusnya, untuk sesi aktiviti berkumpulan, pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan. Objektif utama aktiviti berkumpulan iaitu aktiviti AKL adalah untuk memastikan peserta dapat mengenalpasti jenis dan komposisi sisa pepejal plastik untuk 3R melalui konsep AKL.  Di akhir aktiviti AKL ini, setiap kumpulan telah membentangkan hasil AKL melalui carta pai yang menunjukkan komposisi sisa pepejal plastik mengikut amalan terbaik 3R. Peserta juga telah berjaya memberikan justifikasi yang signifikan ke atas hasil aktiviti AKL semasa pembentangan tersebut. Sesi terakhir ialah Penilaian Program iaitu peserta telah diminta untuk menilai pengetahuan mereka sebelum dan juga selepas bengkel ini dilaksanakan.

Penganjuran bengkel ini telah mencapai sinergi perkongsian ilmu antara dua organisasi iaitu Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar (SMeKSI). Bengkel seperti ini dapat memupuk semangat memelihara alam sekitar yang meliputi kebersihan dan penghijauan persekitaran di kalangan murid dan warga sekolah. Seterusnya menggalakkan warga sekolah untuk menguruskan alam sekitar secara berhemah melalui pengurusan sisa pepejal yang sistematik, pemeliharan sumber dan kelestarian alam.

 

Laporan disediakan oleh Noor Rizallinda Ishak dan Siti Akhtar Mahayuddin daripada Program Pembinaan, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak.