Bengkel Penulisan Pantun UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan Bengkel Penulisan Pantun pada 19 April 2022 bertempat di Makmal Komputer, Pustaka Ilmu. Seramai 16 peserta yang hadir secara bersemuka dalam usaha bersama-sama menjayakan Projek Buku Koleksi Beribu-Ribu Pantun UiTM Di Hatiku.

Dalam bengkel tersebut, beberapa teknik asas penulisan pantun telah dikongsikan oleh Encik Jemat Julaihi@ Basri selaku pembimbing. Beliau telah menerangkan beberapa komponen yang perlu dalam penulisan sesebuah pantun empat kerat iaitu pembayang dan maksud, suku kata serta rima pantun. Seterusnya, bingkisan pantun berkaitan dengan UiTM yang dikarang sendiri oleh warga adalah dalam kategori cinta, jenaka, nasihat, ilmu, kasih sayang, kias dan ibarat.

Dalam pada itu, Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling telah menggesa semua peserta bengkel agar dapat menyumbang karya pantun mereka di pautan Google Form https://forms.gle/FSZreDE8Nd6WZK8Q7 sebelum 30 Jun 2022. Penyumbang yang telah menghantar karya pantun akan diberikan e-sijil penyertaan.

Menerusi platform yang tersedia, warga UiTM dapat meluahkan perasaan dan nostalgia melalui bingkisan pantun berkisarkan UiTM Di Hatiku. Natijahnya, satu koleksi karya pantun rasmi Universiti, memupuk semangat jati diri dan cintakan warisan kesenian dan kebudayaan Melayu serta memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu.

Sebagai rekod, Projek Buku Koleksi Beribu-Ribu Pantun UiTM Di Hatiku merupakan inisiatif untuk menghimpunkan pantun-pantun berkaitan memori di UiTM yang disumbangkan oleh pelbagai pihak seperti Pengurusan Tertinggi, staf, pentadbir, pensyarah, pelajar, alumni, pesara atau individu yang pernah terlibat dengan UiTM.