Majlis Kecemerlangan Dan Iftar Ramadhan Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Pulau Pinang 2022

Permatang Pauh, 18 April 2022- Sukacitanya Unit Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Majlis Kecemerlangan dan Iftar Ramadhan 2022. Majlis diserikan dengan kehadiran semua pelajar pra diploma kemasukan Mac 2022 dari UiTM Cawangan kedah dan UiTM Cawangan Pulau Pinang. Majlis yang buat julung kalinya diadakan ini adalah bagi memberi penghargaan kepada semua alumni PPT kemasukan September 2021 yang telah berjaya mencapai keputusan 4.00 flat dalam penilaian akhir semester lepas.

Seramai sembilan pelajar alumni PPT menerima sijil Anugerah Kecemerlangan PPT dan cenderahati khas atas kecemerlangan yang telah diperoleh mereka. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Ts. Dr. Aini Jaapar, Pengarah PPT. Turut menghadiri majlis tersebut ialah Yang Berbahagia Profesor Ts. Dr Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UiTM Cawangan Pulau Pinang. Semoga penganjuran majlis ini akan menyuntik semangat pelajar-pelajar pra diploma semester ini untuk menggapai kejayaan yang cemerlang dalam penilaian akhir pada bulan Julai nanti.

Di kala ada pelajar yang mengadu sukar mencapai keputusan 4.00 flat dalam peperiksaan akhir, Saudari Nur Liyana Afrina Binti Mohd Rizal yang kini menyambung pengajian dalam Diploma Perbankan di UiTM Cawangan Melaka sempat berkongsi antara rahsia kejayaan beliau ialah sentiasa bersedia sebelum kuliah, fokus dalam sesi kuliah dan sentiasa berinteraksi dengan pensyarah. Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa untuk berjaya niat menimba ilmu itu sangat penting dan setiap peluang yang diberikan perlulah digunakan sebaik mungkin.

Saudari Nur Liyana antara pelajar yang 100% belajar secara atas talian dari rumah pada semester lepas. Menurut ibu beliau yang turut hadir, kemasukan ke program PPT ini ternyata membuka peluang terbaik bagi anaknya melanjutkan pengajian ke universiti. Kegagalan mendapat tawaran belajar sebelum ini bukanlah pengakhirannya.

Diselitkan juga penyampaian Beg Sahur PPT kepada semua pelajar yang hadir. Inisiatif Beg Sahur PPT ini adalah salah satu khidmat sosial para pensyarah dan staf di UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk menggembirakan dan meringankan sedikit beban para pelajar PPT sekaligus mengambil peluang berkongsi rezeki di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.

Terbang tinggi si burung helang,
Berkicau kenari sambal berterbangan,
Program PPT menyediakan peluang,
Perkasa anak bangsa capai kejayaan.