Pulau Pinang, 31 Januari 2024 – Bahagian Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan bangganya menganjurkan Bengkel Pengurusan Pentadbir Akademik pada tarikh 31 Januari 2024. Bengkel ini berjaya diadakan dengan lancarnya di Bilik Perdana 1 UiTMCPP dan menyaksikan penyertaan aktif daripada pentadbir akademik di seluruh kampus Pulau Pinang.
Bengkel ini disusun khas untuk memberi bimbingan serta sokongan kepada pentadbir akademik yang memegang tanggungjawab di Pusat Pengajian, Fakulti, dan Jabatan di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Dengan berfokus kepada pemantapan operasi akademik, bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan keselarasan dan kecekapan dalam pengurusan aktiviti akademik di seluruh kampus.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Ir Ts Dr Siti Noraini Sulaiman, yang mengetuai bengkel ini, menyatakan bahawa kerjasama dan pemahaman dalam kalangan pentadbir akademik adalah kritikal bagi memperkasakan fungsi pentadbir akademik demi kesinambungan kecemerlangan universiti. “Bengkel ini membuka ruang untuk perkongsian idea dan pengalaman, serta membantu memperkasakan pentadbir akademik unit akademik di UiTMCPP,” beliau menambah.
Bengkel yang dijalankan dengan format bengkel perkongsian santai melibatkan Penolong Pendaftar HEA dari Unit Pentadbiran, Akreditasi dan Pascasiswazah, Tuan Syahmi Tuan Rosli dan Penolong Pendaftar HEA dari Unit Rekod, Peperiksaan dan Penerbitan, En Muhammad Fikri Ramli dalam sesi penerangan dan perkongsian amalan terbaik. Perbincangan turut melibatkan isu-isu semasa dalam pengurusan akademik seperti kesilapan kemasukan markah, tidak menasihati pelajar dengan baik, pemantauan proses pendaftaran dan penilaian, serta penerapan teknologi terkini dalam pengurusan maklumat akademik.
Sejumlah 30 orang pentadbir akademik yang terlibat dalam bengkel ini terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian dan Koordinator Program dari Pengajian/Fakulti serta jabatan. Mereka diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kualiti dan kecekapan dalam semua aspek pentadbiran akademik.
UiTM Cawangan Pulau Pinang berharap bahawa inisiatif seperti Bengkel Pengurusan Pentadbir Akademik ini akan membawa impak positif kepada pengurusan akademik universiti dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan pelajar dan kakitangan. Berita ini menggariskan komitmen UiTMCPP dalam menyediakan persekitaran akademik yang berkualiti dan relevan untuk memenuhi cabaran-cabaran semasa dalam bidang pendidikan tinggi.