Bengkel Microsoft Excel (Level: Basic)

KOTA BHARU, 6 Julai – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni, UiTM Cawangan Kelantan & Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menganjurkan Bengkel Microsoft Excel (Level: Basic) bersama pelajar-pelajar sekolah di bawah Program Pembangunan Sains dan Teknologi (PPST) Negeri Kelantan pada 3 Julai 2022. Bengkel ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan panduan kepada para pelajar tentang fungsi asas dalam perisian Microsoft Office Excel, fungsi baru versi terkini serta tip-tip penggunaan yang berhubung kait dengan mata pelajaran di sekolah seterusnya boleh dipraktikkan dalam menyelesaikan tugas-tugas harian.

Jumlah penyertaan adalah seramai 45 orang pelajar. Penceramah iaitu Puan Norlaila Md Noor dan Puan Wan Khariyah Hulaini Wan Ramli merupakan pensyarah Matematik dari FSKM, UiTM Cawangan Kelantan yang sangat berpengalaman dalam mengendalikan perisian Microsoft Office Excel. Pengisian bengkel adalah pembelajaran berasaskan modul di mana sesi bengkel bermula dengan Modul 1 – Getting Started with Excel diikuti dengan Modul 2 iaitu Cell Basics. Sesi seterusnya diteruskan lagi dengan Modul 3 iaitu Modifying Columns, Rows and Cells dan Modul 4 – Intro to Formulas. Di sebelah petang, bengkel diteruskan dengan sesi terakhir iaitu Modul 5 – Print a Worksheet dan Modul 6 – Charts. Sesi amali dijalankan di setiap slot demi memberi pendedahan terus kepada para pelajar berkaitan cara sebenar mengendalikan Microsoft Office Excel.

Banyak ilmu yang dikongsi oleh penceramah kepada peserta-peserta bengkel ini. Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar. Melalui bengkel ini juga, para peserta dapat mempelajari teknik-teknik dan kaedah berguna yang boleh digunakan dengan perisian Microsoft Office Excel. Semoga program ini dapat dijalankan secara berterusan dan lebih ramai peserta dapat menyertainya agar ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan.