BENGKEL MANDARIN MADE EASY ANJURAN AKADEMI PENGAJIAN BAHASA DAN BAHAGIAN PENYELIDIKAN & JARINGAN INDUSTRI UiTM CAWANGAN PAHANG KAMPUS JENGKA

Pada 24 November 2023, Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan Bengkel Mandarin Made Easy bertempat di Dewan Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Bengkel yang berdurasi selama tiga jam ini telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang iaitu Yang Berusaha Dr. Roslina Binti Abdul Aziz.

Bengkel ini telah dihadiri oleh 161 orang pelajar daripada program diploma dan sarjana muda yang mengambil kursus-kursus Mandarin APB iaitu TMC101, TMC401, TMC451 dan TMC501. Program yang julung kali diadakan ini telah menjemput penceramah dari Kunkwan International Mandarin Training Centre iaitu Encik Kent Ng Kun Kwan yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif institusi ini.

Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar kaedah menguasai bahasa Mandarin dengan lebih mudah serta cara yang betul dalam mempraktikkan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

Sepanjang bengkel ini berlansung, Encik Kent telah berkongsi pelbagai tips menarik dan berguna untuk dipraktikkan oleh para pelajar dalam proses pembelajaran dan penggunaan bahasa ini. Di samping itu, penyampaian penceramah yang berbentuk motivasi dilihat mampu memberi impak positif kepada para pelajar dalam menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik dan bersemangat waja.

Di penghujung program, para pelajar juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan kepada Encik Kent. Ini dilihat sebagai suatu titik tolak yang baik kerana pelajar dilihat begitu berminat untuk mendapatkan informasi tambahan berkaitan penguasaan bahasa Mandarin. Selain itu, program ini juga mendapat maklumbalas yang positif bukan sahaja daripada para pelajar bahkan juga daripada penceramah yang memuji keaktifan para pelajar semasa program berlangsung dan keberanian pelajar dalam mengajukan soalan.

Diharapkan program ini dapat memberi seribu satu impak yang positif buat semua pelajar yang terlibat untuk lebih cemerlang dalam penguasaan bahasa Mandarin sekaligus memberi nilai tambah kepada mereka dari segi kemahiran berkomunikasi dan kebolehpasaran setelah menamatkan pengajian kelak.

Jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang, Kunkwan International Mandarin Training Centre seterusnya para pelajar atas penganjuran dan penglibatan dalam bengkel Mandarin Made Easy bagi edisi 2023.