BENGKEL KELESTARIAN ALAM-RACUN SERANGGA DAN BAJA ORGANIK DARI SISA DAPUR BERSAMA JABATAN PERTANIAN BATANG PADANG

31 Oktober 2023-Seramai 82 peserta yang terdiri dari staf UiTM dan pelajar telah menyertai Bengkel Kelestarian Alam: Racun Serangga dan Baja Organik dari Sisa Dapur Bersama Jabatan Pertanian Batang Padang, Perak. Bengkel ini dilaksanakan bagi menyokong Festival Kelestarian UiTM 2023 yang berlangsung sepanjang bulan Oktober yang lalu.

Program ini bermula seawal jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan oleh pengarah program iaitu Puan Siti Norhayati Binti Mohamad Tarmizi. Bengkel diteruskan dengan sesi taklimat secara teori dan praktikal oleh Pegawai Pertanian Daerah Batang Padang iaitu Puan Siti Ruhaida Binti Che Ani. Dalam sesi teori ini beliau memberi penerangan tenatng baja organik dan kompos.

Baja organik ialah baja semulajadi yang dihasilkan menggunakan bahan semulajadi yang mengalami proses pereputan dan menghasilkan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan. Ianya mudah terurai di dalam tanah dan mempunyai kandungan nutrien yang rendah iaitu kurang dari 8%. Baja ini amat penting untuk kesuburan tanah kerana menambahkan mikrob dan mengurangkan pH tanah terutama bagi kawasan berpasir. Contoh baja organik adalah baja dari tinja haiwan dan baja kompos. Manakala kompos memberi maksud salah satu proses dalam penghasilan baja organik di mana bahan-bahan seperti rumput/daun kering, sisa buangan dapur, sisa sayuran/buahan mengalami proses pereputan secara semulajadi. Antara kelebihan kompos adalah menambah nutrien dalam tanah, memperkenalkan organisma berguna kepada tanah, mengurangkan pembuangan sisa dapur (sampah domestik) dan ianya baik untuk alam sekitar.

Bagi sesi amali pula, penceramah juga telah berkongsi lima (5) resepi iaitu penghasilan kompos sisa dapur, Fermented Plant Juice (FPJ), Fermented Fruit Juice (FFJ), Fish Amino Acid (FAA) dan Baja Kulit Telur (CAP). Kesemua resepi ini menggunakan bahan yang berbeza dan semestinya menghasilkan produk untuk tujuan yang berbeza. Kompos sisa dapur boleh terus dijadikan sebagai media tanaman atau ianya juga boleh dicampur dengan tanah dan pasir sebelum digunakan. FPJ dan FAA pula sesuai untuk semua tanaman kerana ianya mampu membantu meningkatkan pertumbuhan tanaman kerana FPJ mempunyai Asid Gibrelin (GA3). Manakala FFJ dan baja kulit telur (CAP) sangat sesuai untuk pokok yang sedang berbunga mahupun berbuah. Penghalau serangga pula dihasilkan dengan menggunakan tumbuhan yang mempunyai bau yang akan menjadikan serangga takut dan tidak suka berada berdekatan kawasan yang mempunyai bauan tersebut. Minyak digunakan untuk membantu lekatan bancuhan pada permukaan daun.

Sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi penyediaan baja kompos serta penghalau serangga berakhir pada 11.00 pagi. Sebelum sesi bengkel ini berakhir, penyampaian cenderahati dari pihak Kampus Hijau UiTM telah diserahkan kepada pihak Jabatan Pertanian Daerah Batang Padang.

Sebagai penutup, hasil bengkel ini mampu memberi impak dan ilmu yang amat berguna serta menggalakkan setiap staf dan pelajar UiTM untuk mengamalkan amalan hijau sekaligus dapat melestarikan UiTM Tapah ini. Diharap bengkel seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana ianya mampu membuka mata, minda serta menggalakkan para peserta untuk lebih bertanggungjawab dalam berinovasi menggunakan bahan buangan, sekaligus membantu mengurangkan pelupusan sampah.