Arduino Showcase 2023

Pada 28 Oktober 2023, Unit Sains Komputer Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah berjaya melangsungkan program Arduino Showcase 2023, sebuah program yang melibatkan pelbagai aktiviti berkaitan Arduino. Program ini adalah sebuah program tahunan yang dijalankan atas usaha para pensyarah Unit Sains Komputer dibantu oleh sukarelawan pelajar daripada Asasi Kejuruteraan dan Asasi Undang-Undang.

Dua sesi selari ceramah telah disampaikan oleh pakar-pakar dari industri iaitu Encik Mohd Zhafri Bin Baharudin, CEO MInD Mechatronic Intelligent Design Sdn. Bhd serta Dr. Syed Zainudeen Mohd Shaid, yang merupakan seorang penyelidik dalam bidang keselamatan siber di Dell Technologies. Sesi selari yang melibatkan 271 orang pelajar dari pelbagai program Asasi ini, menyaksikan ceramah yang berkisar tentang teknologi Arduino dalam kehidupan seharian, manakala satu lagi ceramah menekankan isu-isu berkenaan keselamatan siber.

Selain itu, program Arduino Showcase 2023 juga menganjurkan satu pertandingan projek Arduino yang melibatkan 32 kumpulan peserta daripada pelajar Asasi Kejuruteraan. Pertandingan ini diadili oleh 17 orang juri jemputan daripada industri, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pertandingan projek Arduino yang dijalankan telah menyaksikan pelbagai projek menarik daripada para pelajar. 10 kumpulan telah dinobatkan sebagai pemenang pada pertandingan ini berdasarkan penilaian para juri. Pemenang tempat pertama telah menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM200.00 berserta hamper dan sijil, diikuti tempat kedua dengan RM150.00 dan tempat ketiga dengan RM100.00 berserta hamper dan sijil. Manakala tujuh pemenang saguhati telah menerima hadiah hamper dan sijil. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mahadi Kamaluddin, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar dan ICAN), Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil.

Program ini diharapkan akan memberi manfaat kepada semua pelajar Asasi Kejuruteraan dan menjadi platform bagi memupuk minat dalam bidang Arduino, khususnya kepada semua peserta program.