TAPAH, 10 Julai 2023 – Berbaki kurang dari sebulan lagi, para pelajar Diploma Perakaunan (AC110) dan Diploma Sistem Maklumat Perakaunan (AC120) akan menduduki peperiksaan akhir bagi subjek Introduction to Commercial Law (LAW240) dan Introduction to Partnership and Company Law (LAW346). Sejajar dengan itu, pihak Jabatan Undang-Undang (JUU) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengambil inisiatif tambahan dengan menganjurkan sebuah Bengkel Kecemerlangan Akademik dan Teknik Menjawab Soalan pada 8 Julai 2023 yang lalu. Mendokong hasrat murni Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG 4) didasarkan kepada pendidikan berkualiti, bengkel ini bertujuan untuk menambahkan kefahaman pelajar tentang subjek berkenaan dan berkongsi teknik teknik yang sesuai untuk digunakan semasa menjawab soalan peperiksaan akhir nanti.
Bermula seawal jam 8 pagi pada hari Sabtu lalu, hampir 80 pelajar yang terpilih telah hadir bagi meluangkan hujung minggu mereka dengan menimba ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat. Bengkel dimulakan dengan sesi ucapan aluan daripada Penyelaras JUU, Puan Afidah Osoman, diikuti perkongsian dari wakil pensyarah JUU berkenaan topik “Tips dan Trik menjawab soalan”, seterusnya perkongsian daripada Dr Farihana Abdul Razak tentang topik-topik yang berfokus kepada soalan peperiksaan akhir tahun. Kemudian, para pelajar diberikan masa selama dua jam untuk bekerjasama dalam kumpulan masing-masing bagi menjawab soalan-soalan akhir tahun yang telah disediakan oleh pihak JUU. Di akhirnya, kesemua jawapan yang disediakan oleh mereka akan disemak oleh para pensyarah sebelum dikongsikan bersama dengan para pelajar yang lain.
Rata-rata peserta yang terlibat telah memberikan kerjasama yang sangat cemerlang. Disaat rakan-rakan mereka melakukan pelbagai perkara lain di hujung minggu nan indah, mereka sudi untuk berkorban tenaga dan masa untuk menambah baik lagi pemahaman mereka tentang subjek tersebut. Semangat dan komitmen yang ditunjukkan para pelajar seharusnya dipuji kerana mereka telah menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk bertanya pelbagai soalan kepada para pensyarah. Syabas diucapkan!
Jutaan terima kasih kepada pihak UiTM yang terlibat bagi menjayakan bengkel ini. Sekalung penghargaan buat pengarah program, Dr Farihana Abdul Razak dan semua pensyarah JUU UiTM Tapah, diatas usaha murni dan inisiatif bijak ini bagi membantu para pelajar untuk lebih berjaya.
Memetik ayat Al-Qur’an Surah Ar-Ra’d Ayat 11 “Allah Tidak Akan Mengubah Nasib Suatu Kaum Kecuali Mereka Sendiri yang Mengubahnya”, semoga usaha kecil ini dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus maju kehadapan. Teringat kata-kata yang pernah diungkapkan dahulu dari seseorang yang dihormati dan dikasihi, “If you can’t help yourself, nobody can do nothing”. Untuk itu, pihak JUU mendoakan agar semua pelajar dapat menjawab dengan cemerlang dan bersedia menghadapi peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan pada 27 Julai 2023 untuk subjek LAW240 dan 9 Ogos 2023 untuk subjek LAW346.
Diharapkan bengkel seumpama ini dapat memberikan impak positif bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan kelak, sekaligus menjadi batu loncatan untuk terus mendapatkan keputusan yang cemerlang. Diharapkan melalui program sebegini mampu memberi peningkatan sumbangan UiTM terhadap pendidikan berkualiti para pelajar. Akhir kalam dari pihak JUU UiTM Tapah, semoga akan ada lagi peluang dan kesempatan masa untuk meneruskan bengkel sebegini pada semester-semester yang akan datang.