Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) dengan jayanya telah menganjurkan Bengkel Hands-On Website BPPA pada 13 September 2022 yang lalu. Bengkel ini telah disertai seramai 5 orang kakitangan dari Jabatan ini sendiri. BPPA telah menjemput penceramah dari Jabatan Komunikasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program ini dimulai kata aluan oleh Dr. Nadia Hanin Nazlan, Ketua Pembangunan Pentaksiran dan Penilaian, BPPA dan seterusnya ucapan pendahuluan oleh Prof. Madya Dr. Shahniza Kamal Bashah selaku Ketua Laman Web dari Jabatan Komunikasi UiTM.
Program yang dikendalikan oleh Encik Muhamad Riduan Jamil, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dari Jabatan Komunikasi UiTM itu bertujuan untuk memberi pendedahan untuk mempelajari konsep asas pembangunan laman web untuk organisasi BPPA. Di samping itu staf juga dapat mengaplikasikan ICT dalam melancarkan proses kerja pengemaskinian laman web BPPA selain turut menyediakan kumpulan modal insan berkualiti dan berkeupayaan membangunkan laman web untuk organisasi. Ianya juga dapat memberikan nilai tambah kepada bidang kerja semasa.
Bengkel itu diterajui oleh tiga (3) orang instruktor yang mahir dalam bidang pembangunan laman web iaitu Encik Mohamad Riduan Jamil, Prof. Madya Dr. Shahniza Kamal Bashah dan Puan Fazlina Abdul Rasid.
Sepanjang program yang berlangsung selama tiga (3) jam tersebut, kesemua peserta didedahkan secara teori dan praktikal kemahiran membina laman web menggunakan Joomla. Menerusi bengkel ini, para peserta telah diberi tunjuk ajar mengenai tatacara membangunkan laman web bermula dengan mendaftar emel sehingga proses membangunkan kandungan dan rekabentuk. Selain itu, para peserta juga turut didedahkan dengan Joomla iaitu sebuah platform pembuat website yang paling banyak digunakan di dunia saat ini. Fungsi-fungsi yang diberikan adalah sangat banyak dan dapat membantu mempermudahkan pekerjaan dalam membangunkan sesebuah laman web.
Program yang tamat pada jam 12.30 tengah hari diakhiri dengan ucapan penutup oleh Dr. Nadia Hanin. Semoga objektif bengkel ini dapat dicapai sepenuhnya di samping menambah ilmu baharu buat staf BPPA yang terlibat.