JENGKA, 27 September 2023 – Bengkel Hands-on Bersiri – Penerapan Model A.D.A.B dalam Reka Bentuk Pelan Pengajaran anjuran Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah diadakan dengan jayanya pada 26 hingga 27 Ogos 2023 bertempat di UiTM Cawangan Pahang. Seramai lebih daripada 300 orang pensyarah UCPh dari Kampus Jengka dan Raub telah menyertai bengkel. Bengkel hands-on yang dijalankan sebanyak lima (5) siri ini adalah bertujuan bagi menerapkan Model A.D.A.B dalam reka bentuk pelan pengajaran bagi setiap kod kursus yang ditawarkan oleh pusat pengajian dan fakulti masing-masing. Model ini yang terdiri dari Analysis, Design, Access, and Built-in Belief merangkumi tujuh (7) langkah atau elemen telah dipetakan kepada objektif pendidikan universiti yang menekankan pembangunan ilmu dan kognitif, pembangunan sahsiah and afektif dan pembangunan jati diri.
Justeru, seramai enam (6) orang ahli Champion A.D.A.B. UiTM Pahang telah menjadi fasilitator dalam bengkel ini yang terdiri daripada Encik Mohd Ikhsan Md Raus, Ts. Dr. Wan Aizuddin Wan Razali, Puan Suhanom Mohd Zaki, Cik Nur Masriyah Hamzah, Puan Asyura Abd Nassir dan Puan Norlaila Md Din untuk membimbing para pensyarah dalam memantapkan kefahaman dan pengetahuan mereka mengenai Model A.D.A.B agar elemen dan nilai A.D.A.B dapat diterapkan dengan jelas dalam reka bentuk pelan pengajaran pensyarah masing-masing.
Bengkel hands-on yang telah dijalankan selama dua (2) hari melibatkan 12 pusat pengajian dan fakulti UiTM Cawangan Pahang telah membuka peluang kepada setiap pusat pengajian atau fakulti untuk berkongsi pelan pengajaran masing-masing yang telah diterapkan dengan elemen dan nilai A.D.A.B ketika sesi pembentangan oleh resource person atau lecturer-incharge (LIC). Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan keupayaan seseorang pensyarah dalam memahami elemen-elemen dan nilai – nilai di dalam Model A.D.A.B dengan lebih tepat dan jelas.
Segala komitmen yang telah diberikan dalam bengkel hands-on penerapan Model A.D.A.B dalam reka bentuk pelan pengajaran ini diharapkan dapat memberi penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran para pensyarah pada semester akan datang dan seterusnya dapat menanamkan nilai adab dalam diri pelajar agar mereka boleh dilihat sebagai graduan UiTM yang berilmu dan beradab.