JENGKA, 19 Jun 2023 – Seiring dengan perubahan bagi penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P), pihak Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadaptasikan kaedah Collaborative Teaching di dalam kebanyakkan kursus yang ditawarkan. Antaranya adalah kursus ‘Sport Injury, Care & Safety’ (SPS523) bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR243) semester tiga, dan ini adalah kali kedua ia dibuat dengan kerjasama dari pihak industri.
Diketuai oleh Mohd Zulkhairi Bin Mohd Azam selaku pensyarah bertanggungjawab (LiC), beliau telah mendekati pihak industri Equal Fitness Sdn. Bhd.dan berjaya mendapat persetujuan bagi tujuan kerjasama untuk kolaborasi pengajaran bagi mencapai objektif model penyampaian P&P untuk kali kedua. Tujuan utama pemilihan pihak industri tersebut adalah di atas kepakaran tenaga pengajar di dalam urutan sukan, serta pengalaman luas mereka di dalam arena sukan negara dengan penglibatan di dalam kejohanan-kejohanan sukan yang utama di dalam negara dan juga di luar negara. Ditambah juga dengan khidmat meluas mereka bersama pasukan kebangsaan untuk kejohanan-kojohanan sukan di luar negara. Pemilihan mereka sebagai tenaga pengajar bagi urutan sukan adalah sangat sesuai bagi tujuan pendedahan terhadap kaedah urutan sukan secara praktikal kepada para pelajar. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk membantu memudahkan para pelajar untuk memahami konsep-konsep penting di dalam urutan sukan yang boleh dikaitkan dengan rehabilitasi dan prestasi sukan.
Pengajaran dan pembelajaran bagi urutan sukan ini telah dibuat pada tarikh 17-18 Jun 2022, dan berlangsung dari waktu pagi hingga petang. Bengkel tersebut mengambil tempat di makmal gimnasium sains sukan, UiTM Cawangan Pahang, kampus Jengka dan dihadiri oleh seramai 60 orang pelajar yang mengambil kursus SPS523. Pada permulaannya, Equal Fitness yang diwakili oleh Haji Saadon dan Puan Salina telah memberi kuliah secara teori berkenaan asas anatomi manusia dan pengenalan terhadap urutan sukan. Kemudian pada waktu tengahari hingga petang, para pelajar diajar secara praktikal akan teknik-teknik yang sedia ada di dalam urutan sukan. Pada hari kedua pula, bengkel diteruskan dengan pembelajaran secara praktikal dan dipantau oleh Haji Saadon dan Puan Salina.
Hasil daripada kolaborasi pengajaran tersebut, ia banyak membantu memudahkan para pelajar memahami kepentingan urutan sukan di dalam kursus SPS523. Di samping itu pendedahan akan teknik-teknik urutan sukan yang dibuat adalah bermanfaat kepada mereka di dalam menyiapkan tugasan kerja kursus dengan lebih baik serta berguna untuk dibuat secara praktikal kepada para atlit kelak. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Equal Fitness di atas kerjasama yang baik dan kesudian mereka sama-sama membantu untuk meningkatkan kemahiran dan kefahaman para pelajar. Adalah disyorkan kepada pensyarah yang lain agar mencari peluang untuk berkolaborasi dengan pihak industri untuk memantapkan P&P pelajar, serta dalam pada masa yang sama dapat memahami kehendak industri di dalam mempersediakan pelajar kita dari segi kebolehpasaran kerja kelak.