Dengkil: Prihatin dengan nasib mangsa banjir, 11 sukarelawan YOSH MyFundAction terdiri daripada dua penuntut dan sembilan alumni asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) turun padang menjalankan misi pasca banjir di rumah pensyarah dan kakitangan Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil, di sini.
Misi pasca banjir pada minggu lalu itu diketuai oleh alumni asasi undang-undang UiTM Dengkil, Haziq Fikri Suhaimi. Matlamatnya adalah membersihkan rumah serta mengedarkan bantuan barangan asas kotak Rezeki Ummat kepada kakitangan dan pensyarah UiTM Dengkil yang terjejas akibat banjir.
Menurut Haziq, tiga rumah terbabit dalam operasi pasca banjir pada hari berkenaan iaitu kediaman pensyarah Matematik Pusat Asasi Saiyidatul Nadiah Idris, Timbalan Pengerusi Pusat Asasi UiTM Dr Ikhwan Naim Md Nawi dan kakitangan Pusat Asasi Wan Hasniah Wan Ahmad.
“Misi pasca banjir ini salah satu inisiatif yang diambil oleh persatuan alumni Asasi UiTM untuk menyumbang semula bakti kepada warga UiTM Dengkil sekali gus meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir. Saya berharap misi ini membantu kami menyusun lebih banyak aktiviti kebajikan khususnya yang membabitkan penuntut di seluruh IPT bagi menyantuni golongan yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya.
Haziq berharap niat murni yang ditunjukkan oleh sukarelawan terbabit dapat memberi contoh teladan yang baik kepada generasi muda di luar sana agar terus berkhidmat kepada masyarakat tidak kira bangsa dan agama.Lebih menarik lagi, misi itu mendapat maklum balas yang baik daripada warga UiTM sendiri.
Isteri Dr Ikhwan Naim, Nur Adila Che Rameli menghargai bantuan diberikan oleh sukarelawan terbabit dan baginya, usaha itu akan menggalakkan penuntut untuk tidak berhenti dalam membantu mangsa banjir dan mereka yang memerlukan di luar sana. “Pelbagai sumbangan kami terima ketika ini namun bantuan tenaga amatlah diperlukan untuk membersihkan rumah selepas banjir tempoh hari,” katanya.
Sementara itu, Wan Hasanah mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang terbabit dalam misi pasca banjir berkenaan. “Kalau tiada yang membantu, mungkin akan makan masa sebulan untuk saya bersihkan rumah. Jadi saya sangat hargai bantuan mereka,” katanya.