BANDUNG INDONESIA, 03 Mac 2023 – Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Melaka telah mengadakan satu program Baktisiswa Pengantarabangsaan Komander (BAKSA23) ke Indonesia dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia (EMI), Bahagian Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang berlangsung pada 28 Februari 2023 – 03 Mac 2023 bertempat di Universitas Padjadjaran Kampus Jatinangor, Bandung Indonesia. Program ini dianjurkan sebagai salah satu pengisian lawatan kerja rasmi perkongsian pintar serta kolaborasi staf dan pelajar UiTM Cawangan Melaka dengan Universitas di Indonesia.
Program yang julung-julung kalinya diadakan di peringkat antarabangsa ini adalah bertujuan berkongsi pengalaman, idea, perolehan input-input yang berguna serta boleh dijadikan panduan, rujukan untuk penambahbaikan, pengurusan sumber, organisasi serta operasi Bahagian Hal Ehwal Kemahasiswaan Universitas Padjadjaran dengan Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Melaka, disamping dapat membina jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa antara UiTM Cawangan Melaka dengan Universitas di Indonesia serta mengeratkan lagi hubungan silaturrahim melalui perkongsian maklumat antara pelajar UiTM Cawangan Melaka dengan Universitas tersebut.
Majlis penutup dan sesi perjumpaan pelajar UiTM Cawangan Melaka bersama Ahli Badan Eksekutif Mahasiswa UNPAD turut dihadiri Dr. Eng. Boy Yoseph Cahya Sunan Sakti Syah Alam, S.T., M.T., Ketua Direktorat Hubungan Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UNPAD, serta Ms. Savitri Aditiany, Direktorat Internasional Office (IO) UNPAD. Majlis turut di hadiri En. Ahmad Bukhari bin Hj. Sulaiman, Ketua Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Melaka selaku ketua deligasi bersama-sama barisan pelajar Komander Kesatria UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah serta mahasiswa badan eksekutif Universitas Padjadjaran.