Bahagian Hal Ehwal Pelajar Cakna Kebajikan Pelajar OKU UiTM

Shah Alam, 23 November 2022 – Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. UiTM menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) sentiasa memastikan hak pelajar OKU terjamin dan sentiasa diberikan perhatian serta keutamaan.

Antara inisiatif awal yang diambil oleh BHEP dalam menitikberat kebajikan pelajar OKU adalah dengan mengadakan sesi perjumpaan dua hala dan sesi dialog bersama YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP). Perjumpaan ini telah dianjurkan secara dalam talian menggunakan aplikasi Cisco Webex. Perjumpaan ini telah melibatkan hampir seluruh daripada 384 mahasiswa OKU UiTM se-Malaysia. Turut terlibat dalam perjumpaan ini ialah YBrs. Ts. Dr. Roslinda Alias, Pengarah Unit Perkhidmatan OKU (UPO), barisan pengurusan UPO, serta wakil staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Keterlibatan staf secara menyeluruh ini dapat memberikan impak positif dalam memudahkan pemantauan serta penjagaan kebajikan mahasiswa OKU UiTM.

Perjumpaan yang berdurasi lebih satu jam ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan dua hala antara pengurusan dan mahasiswa OKU serta menjadi medium permulaan bagi sesi suai kenal antara Timbalan Naib Canselor (HEP) dan mahasiswa OKU. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mewujudkan inklusiviti antara pihak pengurusan UPO dan mahasiswa OKU UiTM se-Malaysia di samping memberikan platform kepada pihak UPO untuk lebih cakna dengan keadaan semasa pelajar OKU. Dengan itu, mahasiswa OKU UiTM se-Malaysia mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan, pendapat, persoalan mahupun permasalahan yang boleh ditambah baik di peringkat HEP khususnya. Sekiranya pelajar OKU aktif dalam memberikan respon tentang permasalahan yang dihadapi oleh mereka, pihak BHEP juga akan lebih bergiat aktif dalam membantu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka.

Sesi perjumpaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP) ini diteruskan lagi dengan sesi dialog dan soal jawab bersama-sama pelajar OKU yang hadir. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan di antara BHEP dengan mahasiswa OKU. Sehubungan itu, YBhg. Profesor Timbalan Naib Canselor (HEP) juga telah memberikan harapan agar mahasiswa OKU perlu sentiasa berdaya saing dan berusaha keras dalam menjadi mahasiswa yang holistik daripada segenap aspek. Timbalan Naib Canselor (HEP) juga telah memberikan semangat kepada mahasiswa OKU agar tidak menjadikan kekurangan yang mereka hadapi sebagai penghalang dalam menggapai impian pada masa yang akan datang. BHEP sentiasa komited dalam membantu pelajar OKU UiTM dan mengharapkan perjumpaan berkala seperti ini akan dilakukan pada setiap bulan.