14 November 2022, Shah Alam – Selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA (Akta 173), Seksyen 19A(2) yang menyatakan bahawa Canselor UiTM ialah Yang di-Pertuan Agong. Maka dengan itu pihak Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM telah menjemput seorang panel yang merupakan Pengarah Akademi Kepolisan UiTM-PDRM iaitu DSP/KS Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Hj. Mohammad Noor Jalil untuk memberi perkongsian dalam wacana felo yang bertajuk “Badan Beruniform Dan Institusi Beraja”. Wacana ini dipandu oleh Datin Dr. Zahariah Sahudin, selaku Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu. Wacana ini dijalankan secara langsung dalam talian pada hari Isnin (14 November 2022) pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
SUKSIS singkatan kepada Sukarelawan Polis Siswa Siswi adalah satu penubuhan yang tertakluk kepada undang-undang tubuh sukarelawan polis atau PVR yang terkandung dalam Akta Polis 1967. Ini bermakna kesemua anggota Kor SUKSIS adalah dilantik sebagai anggota sukarelawan polis dan mereka berhak menikmati semua keistimewaan serta kuasa-kuasa seorang anggota polis semasa bertugas menjalankan urusan rasmi atau latihan.
Menurut Dr. Mohammad Noor, silibus kenegaraan dalam semester satu didedahkan juga tentang institusi beraja yang menjadi elemen penting kepada pelajar-pelajar SUKSIS. Beliau menegaskan bahawa institusi beraja di Malaysia adalah sistem yang unik dan Raja-Raja sebagai ketua pemerintah bagi negeri masing-masing perlu dipertahankan. Maknanya disini pelajar SUKSIS perlu tahu dan memahami tatacara institusi beraja ini berjalan.
Akhir sekali, penubuhan SUKSIS berhasrat untuk membentuk jawatan sebuah badan beruniform “Ala Polis” di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) didorong oleh keinginan untuk melahirkan graduan cemerlang yang turut memiliki pengetahuan undang-undang, kemahiran, berdaya saing, berdisiplin, berketrampilan dan dilengkapi dengan nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi mengikut acuan Polis Diraja Malaysia.