Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Heart-To-Heart Podcast Episode 1: How was the campus life used to be? di platform instagram live. Program ini telah berlangsung pada 13 Mei 2022 dari pukul 8.45 malam hingga 10.00 malam. Program ini telah dijayakan bersama tetamu jemputan, Saudara Muhammad Kamal Fariz Bin Kamaruzaman yang merupakan alumni UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Beliau kini sedang meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.
Objektif utama Audio siar Episod 1 ini diadakan adalah untuk berkongsi pengalaman berkaitan cabaran kehidupan di kampus secara fizikal. Perkongsian pengalaman tetamu jemputan yang pernah belajar secara fizikal di UiTM Kampus Raub telah memberi sedikit gambaran kepada pelajar Perakaunan yang kebanyakannya belum pernah menjejakkan kaki ke kampus. Ini sangat bersesuaian dengan situasi semasa kebanyakan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di kampus.
Selain itu, nasihat serta dorongan daripada penceramah yang sentiasa positif dapat meningkatkan semangat para pelajar agar lebih yakin untuk hadir belajar secara bersemuka di kampus. Audio siar ini telah mendapat sokongan daripada lebih kurang 170 orang pelajar dan pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Program ini bersesuaian dengan SDG No.4, Quality Education iaitu dapat meningkatkan kualiti ketahanan minda pelajar dalam menghadapi pelbagai rintangan pembelajaran alaf baru, selain meningkatkan daya fikir dan meluaskan pemikiran pelajar agar lebih terbuka menghadapi sebarang situasi. Program ini juga bersesuaian dengan SDG No.17, Partnership For The Goals, kerana ianya dijayakan 100% oleh pelajar dari awal hingga selesai. Sebarang masalah yang timbul dihadapi dan diselesaikan secara muafakat sesama ahli jawatankuasa pengelola. Semoga kerjasama dan kesepakatan dalam persatuan sebegini dapat melahirkan generasi kemimpinan yang mampan suatu hari nanti.