HANOI, 26 MEI 2022 – Sepuluh orang atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mewakili Negara di Sukan SEA Hanoi telah menampilkan aksi terbaik apabila berjaya menyumbang tiga perak dan enam gangsa kepada kontinjen negara. Aksi kali pertama dari atlet sepak takraw, Saudara Zuhri Muhamaad Zain, Saudari Sharifah Aqila Farhana dari sukan petanque dan Saudara Nevern Netaneel Marcellinus dari sukan tenpin bowling masing-masing berjaya membantu pasukan untuk meraih pingat perak.
Selain itu, atlet UiTM dari acara beregu campuran petanque, futsal, angkat berat dan catur blitz berpasukan pula berjaya membawa pulang pingat gangsa kepada kontinjen negara. Malah, dua orang staf UiTM yang turut mewakili negara menerusi acara bina badan dan futsal juga telah berjaya menyumbang tiga pingat gangsa.
Untuk rekod, seramai 22 orang atlet UiTM telah terpilih mewakili negara ke temasya Sukan SEA yang melibatkan 12 jenis acara yang dipertandingkan di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei yang lepas. Penyertaan atlet-atlet UiTM yang lain dalam Sukan SEA kali ini telah memberi mereka pengalaman untuk terus berusaha mencapai sasaran mendapat pingat dalam Sukan SEA yang akan datang.
Kejayaan atlet-atlet UiTM dalam Sukan SEA edisi kali ini telah meberikan impak kepada UiTM dalam merealisasikan Perancangan Strategik Universiti untuk mencapai sasaran Globally Renowned University (GRU) pada tahun 2025.