Persekitaran pembelajaran yang kurang menarik secara visual boleh mempengaruhi mood dan motivasi pelajar. Ruang yang kurang estetik mungkin tidak mencipta suasana yang menyokong semangat pembelajaran yang positif. Untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran seni dan reka bentuk, adalah penting untuk mencipta persekitaran yang mempunyai nilai-nilai estetika. Ini termasuk memperkayakan studio seni dengan elemen-elemen seni visual, memastikan kelengkapan peralatan seni, dan menyokong projek-projek yang memerlukan kreativiti pelajar. Persekitaran yang kondusif seperti ini membantu mencipta atmosfera pembelajaran yang menggalakkan minat dan keberadaan pelajar untuk belajar di studio tersebut.
Seiring dengan silibus bagi kursus Tipografi (GDT 159), yang memegang kedudukan penting dalam bidang pengajian reka bentuk seni grafik di Jabatan Grafik & Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif, satu usaha telah dijalankan untuk memperindahkan studio seni yang telah lama suram. Dalam konteks persekitaran pembelajaran, projek ini telah dilaksanakan dalam sebuah studio seni yang kurang ciri-ciri estetika , dan tidak seiring dengan disiplin pengajian seni. Studio ini kelihatan gelap dan tidak menarik disebabkan penggunaan perabot-perabot lama yang masih digunakan dan dindingnya agak kosong.
Objektif tugasan ini adalah: i) Mendedahkan pelajar kepada aplikasi tipografi dalam persekitaran mereka dan ii) Menaiktaraf studio seni seiring dengan disiplin pengajian. Fasa pertama proses tugasan bermula dengan taklimat mengenai topik anatomi tipografi, diikuti dengan taklimat projek di mana seramai 61 orang pelajar terlibat telah diberi tugasan masing-masing. Setiap pelajar diberikan satu perkataan terminologi tipografi dan membuat penyelidikan ringkas sebelum melanjutkan ke proses membina huruf 3D. Pembentangan hasil kajian mereka dijalankan supaya semua pelajar dapat berkongsi penemuan mereka antara satu sama lain.
Seterusnya, proses pemilihan huruf secara digital untuk mendapatkan ukuran terperinci. Pelajar perlu merancang saiz, jenis, dan ketebalan huruf sebelum mencetaknya. Pilihan jenis huruf adalah fleksibel, tetapi ia haruslah berdasarkan rujukan muka taip yang telah sediada di platform seni huruf. Ini untuk mendedahkan pelajar kepada jenis huruf yang berbeza dan mengamati variasi dalam kategori dan gaya huruf yang betul. Selain itu, penggunaan templat adalah penting untuk memastikan anatomi huruf kekal kepada bentuk asal dan tidak menyimpang.
Setelah proses pembuatan templat selesai, pelajar membina setiap huruf dalam tiga dimensi. Kadbod keras digunakan untuk memastikan struktur huruf itu kukuh dan kuat. Proses membina huruf dalam tiga dimensi agak rumit kerana penggunaan material kadbod yang agak nipis tetapi lebih menjimatkan. Proses akhir adalah melekatkan setiap terminologi perkataan di dinding studio. Proses kerja untuk tugasan yang bertajuk ‘Anatomi Mural Tipografi Asemblaj’ ini mengambil masa tiga minggu untuk diselesaikan.
Hasil karya tipografi asemblaj ternyata memberi impak besar kepada suasana studio. Penggabungan anatomi tipografi dengan persekitaran sekitarnya terbukti menarik. Melalui tugasan ini, boleh disimpulkan bahawa kaedah mural berkonsepkan tipografi asemblaj ini boleh dilaksanakan di pelbagai lokasi, seperti memperindahkan dinding rumah, sekolah, hotel, pejabat, restoran, kedai, dan pusat membeli-belah. Jelasnya, rekaan ini bukan berperanan sebagai visual estetik sahaja malah maksud dan kandungannya mampu menarik orang ramai untuk menghayatinya melalui komunikasi visual.