Anugerah Akademik Negeri (AAN) Peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang bagi Tahun 2023

Pulau Pinang, 21 Jun 2024 – Bahagian Hal Ehwal Akademik, (BHEA) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan bangganya telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Negeri (AAN) pada tarikh 21 Jun 2024. Majlis ini berjaya diadakan dengan lancarnya di Bilik Perdana 1, UiTMCPP dan menyaksikan penyertaan aktif daripada staf akademik di seluruh kampus Pulau Pinang bagi Anugerah Akademik Negeri (AAN) bagi tahun 2023. Enam (6) kategori telah dipertandingkan bagi Anugerah Akademik Negeri (AAN) UiTMCPP Tahun 2023 iaitu Anugerah Tokoh Akademik, Anugerah Ahli Akademik Harapan, Anugerah Pengajaran, Anugerah Kepimpinan Akademik, Anugerah E-Pembelajaran dan Anugerah Penyelia Terbaik. Bagi penyertaan UiTMCPP di peringkat Anugerah Akademik Universiti (AAU) bagi tahun 2023, UiTMCPP akan menghantar pencalonan dalam lima (5) kategori yang akan diwakili oleh para penerima anugerah.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Ir Ts Dr Hajah Siti Noraini Sulaiman, menyatakan bahawa majlis ini dirangka khas oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) untuk memberi apresiasi kepada tenaga pengajar di dalam kecemerlangan akademik, kecemerlangan perkhidmatan, kecemerlangan perancangan strategik dan kecemerlangan mutu kerja. “Universiti Teknologi MARA amat bertuah memiliki aset-aset bernilai tinggi seperti tuan/puan yang akan membawa UiTM ke satu tahap yang amat membanggakan dan dapat membangkitkan semangat dan keterujuaan kita dalam membuat penemuan dan penciptaan baharu”, beliau menambah.

UiTM Cawangan Pulau Pinang berharap bahawa inisiatif seperti Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Negeri (AAN) ini akan membawa impak positif kepada pengurusan akademik Universiti dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan dan dapat menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.